Rabu, 8 Mei 2013

6 bahagian MCA PP desak Chua berundur sekarang

Susan Loone


 
Enam bahagian MCA di Pulau Pinang hari ini mendesak Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek supaya bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kekalahan teruk parti itu dalam pilihan raya umum Ahad ini.

Enam MCA bahagian yang membuat desakan tersebut ialah Bayan Baru, Bukit Bendera, Tanjung, Jelutong, Permatang Pauh dan Tasek Gelugor.

Setiausaha bahagian Bayan Baru, David Yim berkata berikutan itu, presiden MCA itu hendaklah meletak jawatan serta-merta bagi mengekalkan maruah parti.

Ini juga, tambahnya, satu-satunya peluang untuk presiden menebus dirinya dan memohon maaf kepada semua masyarakat Cina dan ahli MCA atas semua kerosakan yang didakwa telah disebabkan olehnya.

Yim memberitahu  satu satu sidang akhbar hari ini bahawa Chua perlu meletak jawatan kerana didakwa memilih kroni saja sebagai calon dan bagi "imej tercemar" Chua, yang didakwanya benar-benar bercanggah dengan cara moral dan kesopanan yang sentiasa menjadi sebahagian daripada nilai-nilai masyarakat Cina.

Beliau berkata Chua, yang didakwanya mementingkan diri sendiri dan angkuh dalam menangani isu-isu berkaitan masyarakat Cina, merupakan 'pemisah' utama antara parti itu dengan masyarakat dan ini menyebabkan orang Cina menolak MCA.

Yim berkata beliau berharap sidang akhbar ini akan mempunyai kesan domino dan bahagian MCA yang lain akan menyusulnya dan menuntut Chua meletak jawatan.

Tiada ulasan: