Isnin, 10 Oktober 2011

Selangor Tubuh Jawatankuasa Khas Perkasa SOP Jais - Abdul Khalid

PETALING JAYA: Kerajaan negeri Selangor akan menubuhkan jawatankuasa khas untuk memperkasakan Prosedur Operasi Standard (SOP) di Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dalam usaha memantau cubaan memesongkan kepercayaan dan akidah umat Islam di negeri itu.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata jawatankuasa tersebut akan dianggotai oleh tokoh perundangan dan pakar agama serta pegawai kanan kerajaan dan nama-nama mereka yang dipilih akan diumumkan kelak.

“Kerajaan Selangor tidak akan menoleh ke belakang lagi disebabkan isu ini. Sebaliknya isu ini memberi kesedaran tentang keperluan untuk mengukuhkan penguatkuasaan Jais serta pengumpulan bukti.

“Justeru, kita akan menubuhkan jawatan kuasa khas untuk memperkasakan SOP di Jais agar jabatan itu dapat memantau cubaan untuk memesongkan kepercayaan dan akidah umat Islam dengan teliti dan berkesan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Dalam perkembangan berkaitan, Abdul Khalid berkata kerajaan negeri menyambut baik dan menghormati titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam isu laporan pemeriksaan Jais terhadap Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC).

“Kerajaan negeri yakin dan percaya, titah baginda ini adalah keputusan terbaik dan adil serta mengambil kira keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama di negeri ini dan Malaysia.

“Sebagai rakyat Selangor, kita mesti menghormati dan menerima titah ini dengan hati terbuka dan positif kerana baginda adalah ketua negeri dan tempat masyarakat berbilang kaum berlindung,” katanya.

Pada pagi Isnin, Sultan Sharafuddin bertitah tiada pendakwaan akan dikenakan terhadap mana-mana pihak dalam isu pemeriksaan yang dilakukan Jais terhadap Majlis Malam 'Thanksgiving' di DUMC Ogos lalu.

Baginda bertitah keputusan tersebut diambil selepas meneliti laporan Jais serta mendengar nasihat pakar agama serta pakar udang-undang.

Bagaimanapun, baginda turut menitahkan supaya Jais memberi kaunseling kepada orang Islam yang terlibat dalam majlis tersebut supaya akidah dan kepercayaan mereka terhadap agama Islam dapat dipelihara dan dipertingkatkan

September lalu, Pengarah Jais, Marzuki Hussin dilaporkan berkata kes berkaitan pemeriksaan JAIS ke atas DUMC akan disebut di Mahkamah Syariah Shah Alam pada 19 Oktober depan.

Pada 3 Ogos lepas, Jais melakukan pemeriksaan ke atas DUMC selepas mendapat maklumat terdapat orang Islam menyertai majlis yang dianjurkan gereja itu serta ada maklumat berlaku penyebaran ajaran Kristian kepada mereka yang beragama Islam di gereja berkenaan.

Bagaimanapun, pihak penganjur yang dikenali sebagai Komuniti Harapan mendakwa mereka hanya menganjurkan majlis kesyukuran atau 'Thanksgiving' di gereja itu.

Tiada ulasan: