MALAYSIAKINI memetik berita dari AntaraPos.Com, mendakwa ramai di kalangan Adun dan MP di Selangor mahu mendesak agar MB Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim dilucutkan jawatan sebagai MB. Ini satu cerita yang pernah timbul suatu ketika dahulu dan ianya berulang apabila kita semakin hampir ke Pilihanraya Umum ke 13.
Memang diakui, tidak semua pemimpin dan ahli parti yang suka dengan Tan Sri Khalid, bahkan DS Anwar pun bukan semua yang berkenan dengan cara atau pendekatannya. Presiden Parti, DS Wan Azizah pun begitu. Mana ada manusia yang semua orang suka termasuk Presiden PAS malahan Mursyidul Am PAS sendiri. Kita lantik pemimpin bukan di kalangan Malaikat yang suci bersih. Pemimpin tentunya ada kelemahan sama macam kita juga, tetapi kita harus tahu batas-batas kita di dalam parti.
Kelemahan itu berbeza dengan sikap buruk seperti rasuah atau salah guna kuasa mahu pun buruk dari segi moral. Kelemahan tentang pentadbiran, mungkin boleh diperbahaskan dan diperbaiki dengan syarat adanya keikhlasan dan kejujuran semua pihak. Sekiranya pemimpin tidak boleh ditegur jika membuat kesilapan, maka memang wajar diganti. Tetapi jangan kita fikir teguran kita itu sentiasa betul dan wajib diikuti oleh pemimpin. Justeru itu, pentingnya mesyuawarah di dalam mengatasi hal-hal begini.
Jika MB Selangor terbukti melakukan penyelewengan atau rasuah mahu pun bersikap kronisme, itu bukan kelemahan tetapi ianya merupakan perbuatan salah laku dan wajib diambil tindakan tegas serta diganti. Sekarang, masalahnya apa? Jika dilihat dari apa yang disiarkan itu mereka kononnya tidak berkenaan disebabkan MB Selangor tidak cekap menguruskan perkembangan projek di Selangor serta sering mencantas program kemasyarakatan yang dianjurkan oleh parti.
Sudahkah kita siasat mengapa projek itu lewat? Adakah kita siasat terdapatnya unsur-unsur sabotaj terhadap MB Selangor dari dalam? Mengapa isu ini tidak diperdebatkan di dalam Dun Selangor atau di dalam Mesyuarat Majlis Exco? Jika terbukti tiada sabotaj atau memang sengaja dilambat-lambatkan sesuatu projek, ianya merupakan salah laku MB Selangor dan memang patut beliau digantikan kerana ini akan menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap Kerajaan Negeri.
Begitu juga dengan dakwaan bahawa sering program kemasyarakatan anjuran parti yang dicantas oleh MB Selangor. Sudahkah disiasat mengapa program tersebut dicantas? Adakah kerana program itu menggunakan nama parti tetapi dananya mahu diambil dari Kerajaan Negeri? Jika begitu, memang patut program tersebut tidak disokong kerana kita tidak boleh mencontohi Umno yang selalu menggunakan dana Kerajaan untuk menggerakkan parti. Tetapi, apa inisiatif kita untuk mengerakkan parti tanpa perlu dana Kerajaan Negeri? Di sini kebijaksanaan pimpinan sesuatu kawasan dan Dun mahu pun Parlimen itu penting.
Program kemasyarakat boleh dibuat tanpa menggunakan nama parti tetapi atas nama Kerajaan Negeri. Jika ini dilakukan maka tentulah peruntukan boleh dikeluarkan oleh Kerajaan Negeri. Andaikata program seperti ini pun disekat oleh MB Selangor, maka MB Selangor tidak bertanggungjawab terhadap rakyat dan memang patut diganti.
Oleh yang demikian, pemikiran yang waras dan bijak mesti dibuat sebelum kita mengambil sesuatu tindakan. Walau bagaimanapun, saya kurang percaya dengan berita yang disebutkan oleh portal tersebut. Bagi saya, ini adalah mainan atau `warm-up' pihak-pihak tertentu untuk mengkucar-kacirkan Kerajaan Negeri Selangor. Terbukti, kepimpinan MB Selangor setakat ini jauh lebih baik dari kepimpinan Khir Toyo dan sebelumnya. /wfauzdin.blogspot.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan