PEMBENTANGAN Bajet 2012 tidak ubah seperti ‘dentuman guruh di langit, tapi hujannya tidak pasti turun lagi!’ Oleh itu, jangan dahulu curahkan air ditempayan, bimbang hujan tak turun, rumah kering kontang kehabisan air.
Tunggu dahulu. Pastikan apa yang digambar-gemburkan sebagai ‘angpow’ dan hadiah ‘duit pilihanraya’ bagi kalangan anggota tentera, polis, pemandu teksi, pesara, etc., benar-benar berada dalam genggaman mereka, barulah boleh dikatakan sah ia ‘hadiah pilihanraya’ yang dijanjikan Najib dalam Bajet 2012.
Bajet kali ini benar-benar berpaksikan kepada matlamat ‘do or die’ atau ‘hidup atau mati’ ke atas hayat UMNO/BN yang semakin kehabisan oksigen. Sokongan rakyat yang semakin meningkat ke atas Pakatan Rakyat, membuatkan UMNO/BN gelabah dan mula memandang tinggi iltizam rakyat yang mahu menukar kerajaan sekarang yang diibaratkan sebagai ‘makan isi, tetapi tulangnya diberi kepada rakyat.’
Maka, bagi UMNO/BN, penyelesaian terbaik bagi memenangi semula hati rakyat ialah dengan menggula-gulakan hadiah wang yang tidak seberapa berbanding ‘ketirisan’ yang bakal diraih pemimpin-pemimpin UMNO/BN dari jumlah Bajet yang menghampiri RM233 billion yang diumumkan itu.
Biasalah bagi pemimpin UMNO yang hanya tahu ‘mengaminkan’ setiap tindakan pemimpin mereka. Musa Aman, Ketua Menteri Sabah dan Datuk Salleh Said Keruak tidak terkecuali dari sikap buruk ini.
Pujian tinggi menggunung oleh Musa Aman dan pemimpin UMNO ke atas Bajet yang diumumkan Najib adalah semata-mata didasarkan kepada kepentingan agenda peribadi. Sokong, puji, ampu, bodek, angkat kaki adalah sebahagian budaya politik para pemimpin UMNO.
Semua ciri-ciri tersebut adalah asas yang boleh mempastikan kelangsungan kerjaya politik mereka seterusnya menjadi penentu kejayaan untuk membolot seberapa banyak projek-projek seperti projek mega Petronas di Kimanis dan pembinaan lebuhraya di Sabah bagi memenuhkan kantong mereka dengan kekayaan melimpah ruah hasil dari duit pembayar cukai.
Bajet 2012 adalah musibah dan malapetaka bagi golongan penghuni kampung-kampung tradisional yang dilabel UMNO/BN sebagai setinggan ‘haram.’ Tidak kurang daripada 200,000 orang yang menjadi penghuni rumah-rumah ‘haram’ ini adalah kaum pribumi kerana pada bila-bila masa sahaja tanah-tanah yang mereka duduki akan dirampas dan diserahkan kepada tauke-tauke kroni untuk dibangunkan.
Satu contoh kampung tradisional yang telah dihuni sejak zaman berzaman oleh kaum pribumi tetapi telah diserahkan kepada tauke kroni, Wah Mei Realty, ialah Kampung Karamunting. Begitu juga dengan Kampung Lupak Meluas yang kini dimiliki oleh Mee Kwong Hing Kee, adalah sebuah kampung tradisional kaum pribumi sejak mula bumi ini tercipta. Segala-galanya kini milik tauke Cina yang di belakangnya adalah orang UMNO/BN.
Kenapa Najib tidak membela penghuni kampung-kampung tradisional ini didalam Bajet yang dibentangkan? Siapa penasihat Najib yang bertanggungjawab menyiapkan isi kandungan Bajet 2012 yang telah menganiaya kaum pribumi yang duduk di kampung tradisional?
Kenapa tidak dimasukan peruntukan kewangan bagi membayar pampasan kepada pemilik-pemilik tanah dari kalangan tauke kroni supaya kaum pribumi kekal mendiami kampung-kampung tradisional ini?
Kenapa tiada peruntukan bagi kerja-kerja menyukat tanah-tanah kampung tradisional supaya diwartakan sebagai kampung yang mempunyai geran yang sah? Bukankah pada pilihanraya umum Sarawak baru lalu, kerajaan mengisytiharkan kelulusan peruntukan RM20 juta untuk kerja pengukuran tanah-tanah pertanian kaum pribumi di sana?
Kenapa tidak di Sabah? Kenapa tiada peruntukan kepada pihak berkuasa untuk memulihkan semula tanah-tanah pertanian yang dimiliki oleh kaum pribumi yang telah dianugerahkan oleh BERJAYA di bawah ‘Small Holders Scheme’ tetapi telah dirompak oleh tauke-tauke kroni yang menyamar sebagai ‘Anak Negeri Palsu’? Kenapa?
Apakah kerana tauke-tauke ‘Anak Negeri palsu’ ini telah melantik beberapa YB-YB dan orang kuat UMNO/BN sebagai ‘Board of Directors’ yang memiliki jumlah saham tertentu dalam syarikat-syarikat seperti KWANTAS BHD, TSH, GENTING, ABADI MEWAH dan sebagainya; maka mereka sanggup menjadi pengkhianat kepada kaumnya sendiri?
Kenapa tiada dalam pembentangan Bajet 2012 peruntukan untuk meneruskan pembayaran Saham Amanah Rakyat Sabah kepada warga Sabah yang berumur 21 tahun dan ke atas yang telah dimulakan oleh Bapa Kemerdekaan Sabah, Almarhum Tun Mustapha, tetapi telah ditamatkan oleh pemimpin-pemimpin PBS yang kini menumpang di’rumah-rumah’ UMNO/BN untuk survival kuasa politik mereka setelah ‘istana’ mereka roboh pada 1995? Kenapa?
Apakah kerana Najib dan UMNO begitu angkuh dan sombong dengan memandang rendah rakyat Sabah yang selama ini mereka anggap sebagai ‘safe fixed-deposit’ untuk UMNO/BN?
Kepada rakyat Sabah, khususnya kaum pribumi Sabah, apakah anda tidak merasa hina dengan sikap sombong dan angkuh UMNO/BN yang telah meminggirkan anda dalam Bajet 2012? Apakah anda masih mahu terus menyokong UMNO/BN dalam PRU-13 ini? Anda jawablah sendiri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan