Isnin, 24 Oktober 2011

Pemuda PAS bantah konsert Elton John di Genting

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR — Dewan Pemuda PAS Pahang membantah konsert Greatest Hits Tour melibatkan penyanyi Elton John di Arena of Stars, Genting Highlands 22 November ini kerana dianggap tidak sesuai dengan budaya negara ini.

Ketuanya Shahril Azman Abdul Halim Al-Hafiz berkata walaupun mungkin penyanyi yang berkahwin sesama lelaki itu datang sekadar menghiburkan peminatnya, tetapi bimbang ikon muzik dunia itu akan menjadi ikutan negatif kepada generasi muda.

Elton, 64, akan mengadakan konsert sulungnya di Malaysia.

“Pihak berkuasa kena sedar bahawa budaya hedonisme atau berhibur secara berlebihan dan melampau kian menular, merebak umpama racun berbisa yang semakin menyerang remaja Islam.

“Sedangkan budaya inilah yang lazimnya membawa kepada kerosakan sebuah masyarakat seperti pergaulan bebas, gejala arak, berzina, anak luar nikah dan melekakan mereka terhadap tanggungjawab beragama selama ini,” kata beliau dipetik Harakahdaily hari ini.

Katanya, “ini ditambah lagi dengan kemunculan pengamal seks sejenis. DPPNP tidak dapat bayangkan bagaimana penerimaan golongan muda apabila pihak berkuasa tidak menyekatnya dari awal.”

Katanya, sama ada Jabatan Agama Islam Pahang, Kerajaan Negeri Pahang, Majlis Daerah Bentong atau mana-mana pihak berkuasa perlu menggembeleng tenaga supaya mencegah kemungkaran ini kerana gejala sosial dan kebejatan moral yang ada pada hari ini pun tidak mampu lagi ditanggung.

“Jadi pihak penganjur tidak boleh berbangga dengan aktiviti yang mungkin dianggap membawa keuntungan tetapi sebaliknya merosakkan institusi mayarakat dalam jangka panjang,” menurut kenyataan tersebut.

Elton yang terkenal dengan lagu hits seperti Candle In The Wind, Rocket Man, Levon dan Your Son telah mendirikan rumah tangga dengan rakannya David Furnish pada 21 Disember 2005 selepas kerajaan Britain membenarkan perkahwinan sejenis.

Anak mereka, Zachary Jackson Levon John, dilahirkan melalui ibu tumpang pada 25 Disember 2010 di California.

Tiada ulasan: