SHAH ALAM: Bajet Alternatif Pakatan Rakyat 2012 akan menghapuskan sistem monopoli di dalam sektor-sektor penting negara sebagai langkah mengurangkan kos sara hidup serta meningkatkan pelaburan.
Ini akan dilakukan dengan mengamalkan dasar tender terbuka untuk perolehan kerajaan dan mengubal sebuah akta untuk menghapuskan konsesi yang tidak adil, kata Ahli Parlimen Bukit Bendera Liew Chin Thong.
Katanya, penghapusan sistem monopoli ini akan membuka ruang persaingan sihat kepada ramai usahawan yang selama ini kekurangan peluang daripada kesan sistem monopoli.
"Kita tidak boleh memberikan angka tetap melalui hasil penghapusan monopoli. Namun kita percaya persaingan tanpa monopoli akan mengurangkan kos kehidupan rakyat," katanya.
Melalui sistem monopoli ini merupakan satu langkah 'membunuh' pesaing lain yang mungkin turut terlibat dalam industri sama.
Antara contoh monopoli ialah monopoli Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) untuk mengimport beras, Telekom Malaysia (TM) untuk perkhidmatan jalur lebar dan Astro untuk perkhidmatan televisyen setelit siar terus berbayar, kata Liew.
Satu Akta Kontrak Awam Tidak Adil akan digubal untuk mengkaji semula konsesi dan perjanjian yang dikenalpasti sebagai tidak adil dan bertentangan dengan kepentingan umum. Ia juga akan mengembalikan semula profesionalisme dengan memberikan ruang penyertaan kepada semua pihak.
Selain itu, Akta Persaingan 2010 akan diperluaskan kepada semua sektor ekonomi termasuklah syarikat telekomunikasi dan sektor tenaga yang paling banyak menyaksikan herotan harga akibat monopoli.
Perkara ini dinyatakan Liew dalam Forum Belanjawan Pakatan Rakyat 2012 yang berlangsung di Quality Hotel, di sini.
Untuk mengembalikan semula kecemerlangan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC), Pakatan akan memastikan mereka bebas dari gangguan politik dan dibenarkan untuk beroperasi berdasarkan keutamaan perniagaan.
Dalam majlis sama, Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad menegaskan pendapatan rakyat haruslah ditingkatkan dulu sebelum memperkenalkan Good and Services Tax (GST).
Sekarang bukanlah masa yang sesuai untuk kerajaan melaksanakan Goods Service Tax atau ringkasnya GST, kata Dzulkefly.
Katanya, Pakatan tidak menolak mentah-mentah perlaksanaan GST namun ianya perlu dilihat dari sudut yang rasional terutama dari segi aspek kemampuan rakyat untuk membayarnya.
“Kenapa rakyat tidak mampu membayar cukai? Kerana pendapatan mereka berada di bawah paras untuk melayakkan mereka untuk membayar cukai," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan