Jumaat, 7 Oktober 2011

Peneroka Bandar Kampung Seri Temenggong Dapat Rumah Mampu Milik

Oleh Afeeqa Afeera


SHAH ALAM - Kerajaan Negeri Selangor telah mencapai persetujuan dengan penduduk peneroka bandar Kampung Seri Temenggong, Gombak untuk membina rumah mampu milik di kawasan itu, menurut Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Setinggan, Iskandar Abdul Samad.

Iskandar yang ditemui dalam sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Exco di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) berkata, kerajaan negeri mengkhususkan untuk membina sejumlah 450 unit rumah mampu milik bagi menggantikan kediaman setinggan 29 buah keluarga yang menetap di situ.

"Dengan persetujuan penduduk untuk keluar daripada tapak tersebut, maka perancangan kerajaan negeri untuk membina rumah mampu milik di situ akan berjaya," katanya.

Menurutnya, rumah mampu milik yang akan dibina di kawasan lapang itu nanti berharga antara RM90,000 hingga RM120,000 dengan keluasan antara 850 dan 1000 kaki persegi.

Iskandar yang juga ADUN Chempaka berkata, pembinaan rumah mampu milik ini adalah bukti kejayaan kerajaan negeri kerana 29 penduduk itu tidak dapat dikeluarkan kerajaan Umno-Barisan Nasional (BN) ekoran mereka tidak bersetuju dengan cadangan kerajaan terdahulu.

Bagaimanapun kerajaan Selangor di bawah pimpinan Pakatan Rakyat berjaya menawarkan rumah mampu milik dengan tawaran potongan harga.

"Ini menunjukkan bahawa kerajaan sekarang ini dalam menyelesaikan masalah peneroka bandar, kita telah berjaya menghasilkan satu penyelesaian yang lebih baik dan lebih kreatif daripada kerajaan yang lepas. Kita lihat bahawa seperti mana yang berlaku di Bukit Botak kita telah berjaya menyelesaikan masalah tersebut," jelasnya.

Tambah Iskandar, pembinaan rumah mampu milik di kampung berkenaan adalah sebahagian daripada 2,000 unit rumah jenis itu yang akan dilancarkan selewat-lewatnya Mac 2012.

Pada masa ini, katanya, kerajaan negeri telah memulakan pembinaan 124 unit rumah berkenaan di Bangi.

Kerajaan Selangor bersama Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) mengambil inisiatif positif dengan mengenalpasti beberapa lokasi lain di negeri ini untuk membina rumah mampu milik, antaranya Seksyen 3 Bandar Baru Bangi, Antara Gapi dan Bernam Jaya di Hulu Selangor, Gombak, Petaling serta Taman Sains 2 di Sepang.

Tiada ulasan: