Khamis, 13 Oktober 2011

Bagi IC: Najib semakin terdesak menang PRU

Oleh: Masdar Wahid

KUALA LUMPUR: Pemberian Kad Pengenalan (MyKad) segera kepada warga asing bagi tujuan mengundi Umno-BN, merupakan tindakan terdesak Datuk Seri Najib Razak, kata Ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusoff.

Tindakan itu katanya, menunjukkan perdana menteri sendiri tidak yakin untuk menang pilihan raya umum akan datang, kecuali mengamalkan taktik kotor.

Beliau berkata demikian mengulas kehadiran lebih 200 warga asing dari Johor yang dikesan di sebuah resort di Putrajaya, semalam.

Mereka yang terdiri daripada warganegara Indonesia, Bangladesh dan Kemboja, dibawa menaiki enam buah bas, dipercayai untuk diberikan kad pengenalan bagi mengundi kerajaan pada pilihan raya umum akan datang.

“Persoalan paling besar dalam isu ini ialah kalau benarpun mereka berstatus penduduk tetap dan layak mendapat warganegara, megapa perlu memberi Mykad di resort?

“Ini menunjukkan sistem terancang pentadbiran Najib untuk terus menjadikan warga asing sebagai pengundi Umno-BN untuk menang PRU,” kata Yusmadi.

Beliau menegaskan pendedahan Pemuda Pas itu juga mengesahkan pendedahan Jabatan Perdana Menteri Bangladesh sebelum ini, bahawa rakyatnya memperoleh MyKad mudah di Malaysia, dengan syarat mengundi Umno-BN.

“Kita harus ingat, sehingga kini tiada penafian secara rasmi dan secara langsung dari PM Bangladesh sendiri mengenai kenyataan yang pernah dikeluarkannya sebelum ini,” tegasnya.

Beliau turut meminta pimpinan dan jentera parti di setiap negeri memantau keadaan itu dan melapor serta mendedahkannya kepada media.

Sementara itu, Pas pula menuntut penjelasan segera daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) berhubung kehadiran warga asing berkenaan.

Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub di parlimen hari ini berkata, KDN harus memberikan penjelasan kerana pihaknya mengesyaki ia bertujuan membolehkan warga asing berkenaan menjadi pengundi pada PRU 13.

Tiada ulasan: