Khamis, 13 Oktober 2011

820,156 pemilih baru pada 2010



KUALA LUMPUR - Dewan Rakyat diberitahu seramai 820,156 orang mendaftar sebagai pemilih baru bagi tahun 2010 berbanding 276,621 pada tahun 2009.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz dalam jawapan bertulis kepada soalan ahli Parlimen Bukit Bendera, Liew Chin Tong berkata, jumlah permohonan pendaftaran baru ini berbeza dari tahun ke tahun kerana ia bergantung kepada kesedaran warganegara Malaysia yang berkelayakan untuk mendaftar sebagai pemilih.

Selain itu katanya, ia juga berkait dengan sentimen keadaan politik semasa.

"Berdasarkan trend, jumlah permohonan adalah rendah dalam tempoh selepas berakhirnya pilihan raya umum dan akan berlakunya peningkatan yang ketara dalam jumlah permohonan apabila masyarakat umum menjangkakan tarikh pilihan raya sudah semakin hampir," katanya yang juga ahli Parlimen Padang Rengas.

Menjawab soalan Chin Tong mengenai bilangan pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yabg ditugaskan di seluruh negara untuk memproses pendaftaran pemilih baru, beliau memberitahu SPR mempunyai 132 pegawai dan kakitangan yang berkhidmat secara tetap.

Di samping itu, sehingga Ogos 2011, SPR melantik seramai 10,865 Penolong Pendaftar Pemilih (PPP) yang terdiri daripada 2,845 wakil parti politik, 3,992 wakil jabatan, 779 wakil pertubuhan dan 2s9 wakil universiti.

Ianya untuk membantu SPR menerima permohonan pendaftaran baru dan pendaftaran tukar alamat pusat mengundi.

"Pelantikan ini adalah bagi tempoh tertentu dan penamatan boleh dilakukan pada pada bila-bila masa bergantung pada syarat-syarat yang ditetapkan SPR," katanya.

Sementara itu, peruntukan yang ditetapkan untuk tujuan pendaftaran pemilih berjumlah RM500,000.

Manakala tempoh bagi satu-satu permohonan yang diterima oleh SPR sama ada untuk mendaftar sebagai pemilih baru atau pun memohon pertukaran alamat pusat mengundi, ia diproses dan diperakui mengikut tempoh suku tahun yang lazimnya mengambil tempoh masa antara tiga hingga lima bulan seperti berikut:

Suku Tahun Pertama (pendaftaran yang diterima dalam bulan Januari hingga Mac), pengesahannya dijangkakan dalam bulan Mei.

Suku tahun Kedua (pendaftran yang dietrima dalam bulan April hingga Jun), pengesahannya dijangkakan dalam bulan Ogos.

Suku Tahun Ketiga (pendaftaran yang diterima dalam bulan Julai hingga September), pengesahannya dijangkakan dalam bulan November.

Suku Tahun Keempat (pendaftaran yang diterima dalam bulan Oktober hingga Disember), pengesahannya dijangkakan dalam bulan Februari tahun yang berikutnya.- Harakah Daily

Tiada ulasan: