Abdul Rahim Sabri
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom hari ini mengelak mengulas berhubung taklimat Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang mengaitkan beberapa tokoh ulama dengan fahaman Wahabi dan terorisme semalam.Walaupun ditanya beberapa kali oleh pemberita, beliau hanya mahu menjawab berhubung isu berhubung programnya pada hari ini sahaja yang antaranya berkaitan hal ehwal pegawai penyelarasan masjid di daerah-daerah (PPMD).
"(Perkara) yang hari ini. Saya fokus yang hari ini. Pasal, kalau tidak tak keluar pula (dalam akhbar).
"Sebab (program) semalam, tak keluar, jadi saya berasa rasa kecil hati," katanya dalam sidang media selepas majlis pertemuan dengan pegawai PPMD di kompleks Tabung Haji Kelana Jaya petang ini.
Diminta sekali lagi mengulas isu kebimbangan yang ditimbulkan dalam taklimat MKN di Putrajaya semalam, Jamil Khir tetap menjawab:
"Tak apalah, cukuplah yang itu dulu, sebab sat (sekejap) lagi, memang tak masuk".
Walaupun terus diasak pemberita hingga kali ketiga, Jamil Khir dengan nada berseloroh tetap menolaknya dan berkata akan menjawab perkara itu apabila "esok, sampai masanya"
Semalam Malaysiakini melaporkan, dalam taklimat tertutup MKN di Putrajaya semalam, bekas mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan 40 Ulama Muda Umno adalah antara yang dikaitkan dengan fahaman Wahabi dan Terorisme.
Taklimat yang diserta para mufti dan wakil majlis agama Islam negeri, turut mendakwa kerajaan Arab Saudi didakwa menjadi dalang di sebalik tokoh-tokoh ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan