Berdasarkan kepada pembacaan buku Perspektif Perlembagaan hasil tulisan Profesor Abdul Aziz Bari, saya berpandangan bahawa beliau telah menghasilkan sebuah karya akademik Perlembagaan Persekutuan yang menyeluruh, serta bahasa yang mudah difahami oleh semua lapisan masyarakat termasuklah yang tidak memiliki latar belakang undang-undang.
Bermula dengan bab asas konsep perlembagaan, kemudian dikembangkan analisisnya yang menyentuh soal-soal sistem monarki atau sistem beraja, parlimen, Dewan Undangan Negeri (DUN), kuasa eksekutif, badan kehakiman, pilihanraya, perkhidmatan awam dan krisis politik Perak - semua ini dibincangkan dan dikemukakan secara fakta mengikut perspektif Perlembagaan Persekutuan.
Dalam bab Perlembagaan misalnya, penulis memberikan fakta Perlembagaan Persekutuan yang sebenarnya. Maknanya, Perlembagaan Persekutuan itu bukan sekadar undang-undang rumit yang dimiliki dan diamalkan oleh hakim-hakim ataupun golongan professional sahaja sebaliknya penulis berjaya melanjutkan pemahaman konservatif tersebut kepada suatu bentuk "Perlembagaan Rakyat" yang boleh disesuaikan dengan iklim politik dan sosial semasa.
Hal ini penting memandangkan selepas Pilihanraya Mac 2008 lalu, timbul beberapa isu seperti rampasan kuasa politik Perak, kemunculan sistem dua parti dan kedudukan kaum Melayu kononnya tergugat yang memerlukan analisis konkrit dari sudut Perlembagaan Persekutuan. Justeru, untuk memahami Perlembagaan, penulis telah meletakkan asas Perlembagaan Persekutuan yang berjaya meyakinkan pembacanya.
Dalam bab monarki / sistem beraja pula, ia turut dibincangkan dimana kekuatan sistem itu adalah warisan sejarahnya yang panjang dan kedudukannya yang semakin mencabar dalam sebuah negara Raja Berpelembagaan. Penulis juga berpandangan rakyat melihat sistem beraja hanyalah sebahagian daripada sistem yang korup dan membebankan. Kelemahan tersebut, tambahnya lagi, jika tidak ditangani lama kelamaan akan terhapus, barangkali jelas dalam revolusi yang membawa kepada pemansuhan sistem beraja di Iran pada 1979. Misalnya berlaku beberapa kes perebutan takhta di negeri, kenyataan Tengku Mahkota Kelantan pada 12 April berhubung Malaysia bukan sebuah negara sekular yang membangkitkan kemarahan Karpal Singh dan Raja Muda Perak yang bijaksana pun membuat kenyataan bertemakan Kemelayuan dan tidak disenangi oleh pihak tertentu.
Dalam buku ini, saya cukup tertarik dengan sepatah kata Walter Bagehot yang merupakan pengamat tradisi perlembagaan England, istana mempunyai misteri dan mistik yang tersendiri. Dan sekiranya ia terlalu terdedah dan didedahkan istana mungkin akan kehilangan kekuatan dan karismanya.
Dalam bab eksekutif / kerajaan, penulis menghuraikan beberapa hujah ahli politik yang jelas tidak sepadan dengan Perlembagaan Persekutuan. Misalnya, penulis sendiri tidak memahami mengapakah Timbalan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata bahawa kekitangan awam perlu patuh kepada kerajaan yang memerintah. Secara ringkas, perkhidmatan awam adalah institusi berkecuali yang hanya perlu setia kepada negara. Menurut penulis lagi, yang menjadi tonggak perkhidmatan awam ialah undang-undang dan peraturan yang kesemuanya berpaksikan perlembagaan. Kekeliruan rakyat untuk membezakan yang mana kerajaan dan yang mana negara selama pemerintahan Barisan Nasional (BN) hanya akan menguntungkan pemerintah sahaja.
Isu yang membabitkan peranan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) terus mendapat perhatian penulis dalam buku ini. Kredibiliti SPR tercalar teruk dibawah pimpinan bekas Pengerusi Abdul Rashid Abdul Rahman, bahkan tidak dapat menandingi kehebatan Pengerusi terdahulu Mustafa Albakri - ketika itu negara ditadbir oleh Tunku Abdul Rahman, seorang Perdana Menteri yang paling liberal. Penulis membangkitkan rasa hairan terhadap kelemahan SPR sedangkan Perkara 113 (1) dan (2) sudah menyediakan prasarana yang cukup untuk menjalankan tanggungjawabnya. Yang menjadi masalah ialah SPR dan pihak kerajaan yang ada mengawal segala sumber dan jentera pentadbiran terutamanya perkhidmatan awam dan badan kehakiman yang sepatutnya berkecuali jelas tidak mempamerkan ciri- ciri itu. Inilah sebab mengapa pilihanraya yang bersih dan adil sukar dilaksanakan di negara ini.
Terakhir adalah, krisis politik Perak. Ia bermula dengan penyeberangan tiga orang ahli DUN Pakatan Rakyat kepada Barisan Nasional dalam keadaan penuh misteri. Mereka bertiga tiba-tiba muncul memberikan sokongan kepada Barisan Nasional. Istana dan mahkamah, dua institusi yang banyak memainkan peranan dalam isu tersebut tidak mampu menyelesaikan masalah politik ini. Penulis menjelaskan bahawa keputusan yang dihasilkan oleh kedua-dua institusi tersebut telah mengusutkan lagi keadaan. Lantaran itu, penulis menegaskan cara terbaik untuk menangani krisis politik Perak ialah dengan membubarkan dewan supaya satu pilihanraya negeri dapat diadakan dan rakyat dapat membuat keputusan yang muktamad dan jelas.
Berdasarkan kepada pembacaan buku ini, dapatlah dirumuskan bahawa Perlembagaan Persekutuan dapat merungkaikan banyak persoalan politik semasa negara dan teladannya adalah keberkesanan sesebuah kerajaan dapat diukur dengan sejauhmanakah ia menjunjung sesebuah Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang. Bagi pihak IDEAS, kami amat mengalu-alukan buku karya Professor Abdul Aziz Bari (gambar kanan) sebagai usaha membentuk tradisi perlembagaan negara. Buku-buku ini boleh dari kedai-kedai buku seluruh negara dan http://bookshop.gbgerakbudaya.com/
*Medecci Lineil adalah Eksekutif Kanan di Institute for Democracy and Economic Affairs (IDEAS).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan