Sabtu, 2 Julai 2011

UKM bicara empat pelajar ditahan April 2010 Isnin ini


KUALA LUMPUR— Empat penuntut Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang ditahan kerana didakwa terlibat dalam kempen pilihan raya kecil Hulu Selangor 14 bulan lalu akan berhadapan dengan prosiding mahkamah pusat pengajian tinggi itu, Isnin ini.

Keempat-empat penuntut terbabit Muhammad Hilman Idham, 21; Woon King Chai, 22; Muhammad Ismail Aminuddin, 22, dan Azlin Shafina Mohamad Adzha gagal mendapatkan perintah injunksi bagi menghalang pentadbiran UKM mengambil sebarang tindakan disiplin terhadap mereka.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, Hilman berkata mereka berempat telah menerima surat daripada pentadbiran UKM meminta hadir dalam satu prosiding tatatertib minggu depan.

Surat dikeluarkan oleh pejabat Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni.

“Oleh yang demikian kami akan menghadiri prosiding tatatertib itu,” kata Hilman.

Kata beliau, pihaknya bersedia untuk menghadiri prosiding tatatertib pelajar seperti dikehendaki pentadbiran UKM.

“Kami memberi kepercayaan dan harapan yang tinggi supaya prosiding tatatertib di universiti dijalankan secara adil dan telus.

“Kami berempat terus menuntut supaya kebebasan akademik dapat terus dipertahankan dalam prosiding yang akan berlangsung, semoga perjuangan ini berakhir dengan kemenangan,” katanya.

Pada 1 Jun 2010, Hilman, Woon, Muhammad Ismail, dan Azlin Shafina memfailkan saman pemula terhadap kerajaan, Kementerian Pengajian Tinggi dan UKM mencabar tindakan universiti itu terhadap mereka.

Mereka yang merupakan penuntut jurusan sains politik, mendakwa tindakan tatatertib yang dikenakan oleh universiti itu bagi kesalahan mengikut Seksyen 15(5)(a) Akta Universiti dan Kolej Universiti, adalah tidak berasas dan tidak sah di sisi undang-undang.

Tiada ulasan: