KUALA LUMPUR— Keputusan untuk memutuskan sama ada universiti-universiti lain akan membuat pengambilan terus pelajar tanpa melalui Unit Pusat Universiti (UPU) tidak perlu dilakukan secara terburu-buru, kata Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Khaled berkata keputusan tidak perlu terburu-buru disebabkan pengambilan penuntut ke institusi pengajian tinggi awam tahun depan akan dibuat pada September 2012.
“Kemasukan seterusnya setahun lagi. Jadi tak perlu terburu-buru buat keputusan,” katanya kepada The Malaysian Insider.
Selain itu, ketika ditanya sama ada Universiti Malaya (UM) akan mengikut langkah Universiti Sains Malaysia (USM), beliau berkata, “belum ada keputusan.”
Khaled mengulas laporan media semalam bahawa UM dijangka akan mengikuti langkah USM untuk membuat pengambilan terus pelajar tanpa melalui UPU.
UM dilaporkan sedang menunggu lampu hijau Kementerian Pengajian Tinggi manakala USM pula telah memansuhkan penggunaan UPU setelah mendapat pengiktirafan sebagai Universiti Apex.
Naib Canselor UM, Prof Datuk Dr Ghauth Jasmon dipetik berkata, sistem pengambilan terus akan memberikan hak autonomi kepada UM dalam menentukan pelajar yang layak bagi mengikuti pengajian mereka di universiti tersebut.
“Saya melihat proses pemilihan pelajar tanpa melalui UPU ini akan menjadi lebih fleksibel kerana calon-calon yang layak akan melalui sesi temu duga sebelum terpilih untuk menyambung pengajian di sini,” katanya.
Dalam pada itu, ketika ditanya sama ada penggunaan UPU masih lagi relevan atau tidak memandangkan ada dakwaan mengatakan pemilihan terus dapat memperoleh pelajar yang menepati standard, Khaled berkata, “tidak semestinya.”
“Semua universiti inginkan calon yang terbaik. Oleh sebab itu, mereka memohon untuk memilih sendiri,” kata beliau.
Justeru, Khaled berkata, jika universiti lain ingin mengikut langkah USM untuk memilih calon sendiri, mereka perlu memenuhi kriteria ditetapkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi.
Jelas beliau kriteria tersebut masih belum diputuskan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan