Sabtu, 2 Julai 2011

Tambah tuntutan perhimpunan BERSIH: Bubarkan SPR!

Tan Lee Ooi

Pada pendapat saya, satu lagi tuntutan untuk perhimpunan BERSIH amat penting iaitu bubarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum parlimen dibubarkan! Rombakan SPR diperlukan untuk memastikan keadilan pilihan raya. Daripada apa yang kita perhatikan, kata-kata dan karenah pengerusi dan timbalan SPR baru-baru ini, nyata sekali SPR sekarang tidak dapat mengendalikan pilihan raya secara adil dan saksama.

Menurut laporan Malaysiakini, Timbalan pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Wan Ahmad Wan Omar mendakwa Ambiga telah diperalat oleh pemimpin politik dalam BERSIH 2.0 kerana ingin meneruskan perhimpunan pada 9 Julai. Kenyataan Timbalan SPR telah menimbulkan kemarahan rakyat yang ingin melihat pilihan raya dijalankan secara profesional. Banyak komen yang mengesyaki kenyataan Timbalan tersebut telah disuarakan di Internet terutamanya facebook dan blog. Sikap berkecuali SPR juga menjadi persoalan.

Masalah kepincangan SPR telah berakar umbi dan jauh mendalam daripada yang kita dapat melihat secara teknikal seperti tuntutan-tuntutan yang dicadangkan oleh BERSIH. Berikut adalah tuntutan BERSIH yang dicadangkan:

  • Bersihkan senarai undi
  • Mereformasikan undi pos
  • Gunakan dakwat kekal
  • Akses media bebas & adil
  • Masa berkempen minima 21 hari
  • Kukuhkan institusi awam
  • Hentikan rasuah
  • Hentikan politik kotor

Salah satu masalah yang utama dalam kepincangan SPR adalah ahli-ahli panel sendiri. Jika diteliti latar belakang ahli-ahli panel SPR, dapatlah kita menyimpul bahawa sidang panel adalah tidak berkecuali malah hanya terdiri daripada pegawai-pegawai yang telah lama berkhidmat di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN). Oleh demikian, sifat panel SPR untuk melantik pegawai-pegawai kerajaan mungkin menjadi halangan besar dalam mereformasikan SPR supaya ianya lebih profesional. Ini disebabkan kecenderungan pegawai- pegawai tersebut untuk menyokong BN lebih daripada menguruskan segala urusan pilihan raya secara lebih sensitif dengan mengimbangi permintaan-permintaan, kehendak-kehendak dan kepentingan-kepentingan semua pihak, baik BN ataupun Pakatan.

Timbalan Pengerusi SPR yang mengutuk permintaan BERSIH telah memberikan gambaran kepada umum bahawa SPR seakan-akan penyokong BN. Mungkin tidak adil dalam mengutuk mereka semuanya adalah penyokong BN. Mereka mungkin mempunyai pendirian politik sendiri. Walaupun demikian, sebagai penjawat awam, mereka perlu menunjukkan sikap yang saksama kepada semua dan bukannya mengelurakan kenyataan-kenyataan yang bersifat politik yang memihak kepada mana-mana pihak. Walaupun mempunyai pendirian politik, setidak-tidaknya, mereka patut neutral dan melaksakan segala dengan lancar dan memberikan perkhidmatan yang diterima oleh semua pihak. Permintaan sedemikian adalah tidak melampau. Malangnya mereka tidak mampu mencapai permintaan paling asas ini.

Jikalau ahli-ahli panel adalah tidak berkemampuan dalam mengimbangi dan menjaga kepentingan semua, siapakah yang dapat melaksanakan pilihan raya yang adil? Maka pembubaran SPR adalah perlu untuk melaksanakan permintaan-permintaan BERSIH.

Bagaimanakah SPR dapat ditubuhkan secara ideal? Mungkin ini adalah penting dalam mengejar kesempurnaan sistem pilihan raya yang menjamin perjalanan demokrasi negara. Kajian perlu dijalankan untuk penstrukturan semula SPR yang berkemampuan memuaskan segala permintaan mahupun daripada BN atau daripada Pakatan.

Untuk memulakan perubahan tersebut, saya mencadangkan supaya pegawai-pegawai yang terlalu dekat dengan menteri-menteri atau mana-mana parti politik patut dielak. Ahli-ahli panel SPR yang lebih berkaliber diperlukan. Untuk mencapai matlamat ini, saya yakin pencalonan daripada sektor swasta termasuk masyarakat sivil mungkin akan membantu.

Pada masa sekarang, yang penting ialah pembubaran SPR untuk mengukuhkan institusi pilihan raya. Selepas pembuburan SPR, rasanya pengerusi BERSIH, Ambiga Sreevenasan perlu dilantik sebagai salah seorang ahli panel SPR yang mewakili calon masyarakat sivil. Bagaimanakah rombakan SPR dapat dijalankan masih memerlukan kajian yang mendalam termasuk perubahan akta-akta yang memungkinkan SPR menjadi lebih berautonomi daripada kongkongan mana-mana pihak?

Mengapakah sistem pilihan raya dianggap begitu penting pada kanca mata masyarakat umum? Ini adalah kerana pengundi-pengundi Malaysia masih percaya bahawa segala perubahan politik perlu dijalankan menerusi pilihan raya. Rakyat Malaysia juga tidak senang dengan penggunaan keganasan untuk menggulingkan kerajaan. Ini bukan budaya Malaysia. Hal ini dapat dibuktikan semasa krisis politik berlaku pada tahun 1998. Pada waktu tersebut, wujud perdebatan sama ada kaedah pilihan raya atau kaedah jalan raya patut digunakan untuk perubahan politik. Akhirnya, kaedah pilihan raya digunakan.

Tindakan polis menahan aktivis-aktivis yang masih percaya dan yakin dengan perubahan politik dapat dan patut dilakukan menerusi pilihan raya adalah sangat bahaya terhadap sistem demokrasi Malaysia. Aktivis-aktivis tersebut patut dilindungi supaya tidak mendesak mereka menggunakan kaedah jalan raya untuk melakukan perubahan politik seperti yang berlaku di Timur Tengah. Negara-negara di Timur Tengah yang dilanda revolusi politik kerana mereka kekurangan saluran perubahan politik seperti Malaysia yakni pilihan raya yang wujud sejak Merdeka.

Perubahan dan pembersihan SPR perlu dijalankan secepat yang mungkin supaya negara kita dapat mengelak dari revolusi politik yang berlaku di negara Timur Tengah. Sebelum terlambat, seruan-seruan perubahan politik harus disambut dengan hati yang terbuka oleh semua pihak terutamanya BN dan jentera kerajaan seperti Polis Diraja Malaysia. Daripada pengalaman-pengalaman yang kita saksikan beberapa bulan yang lepas di negara-negara Islam, apabila kekurangan saluran untuk mengeluarkan ketidakpuasan secara berkesan dan diredai oleh semua pihak, akhirnya polis dan tentera juga tidak dapat menahan kemarahan rakyat.

Ubahlah sebelum diubahkan.

*Tan Lee Ooi ialah kolumnis MerdekaReview. Beliau sedang melanjutkan pelajaran peringkat Doktor Falsafah (PhD) di National University of Singapore, pernah menulis buku berjudul Dinamik Ruang Siber Dalam Gerakan Reformasi Di Malaysia.

Tiada ulasan: