Khamis, 21 Julai 2011

Suruhanjaya putuskan Beng Hock bunuh diri

TERKINI


Nazri Aziz mengumumkan hasil siasatan suruhanjaya diraja mengenai kes kematian Teoh Beng Hock. - Foto Choo Choy May


KUALA LUMPUR— Laporan siasatan suruhanjaya diraja memutuskan Teoh Beng Hock membunuh diri ekoran tekanan daripada kaedah siasatan agresif dan berterusan di pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pegawai-pegawai SPRM telah mengenakan tekanan ke atas Teoh agar menjadi saksi dalam kes terhadap seorang Adun DAP.

Hasil siasatan diumumkan oleh Datuk Nazri Aziz yang turut mengatakan bahawa keputusan suruhanjaya itu adalah sebulat suara.

Suruhanjaya diraja juga memutuskan bahawa pegawai-pegawai SPRM didapati telah melanggar prosedur operasi standard yang telah ditetapkan.

Ia mengesyorkan agar tindakan diambil khususnya ke atas tiga pegawai SPRM.

Nazri berkata kerajaan menyerahkan kepada polis untuk mengambil tindakan sewajarnya ke atas pegawai-pegawai terbabit.

Kata beliau, polis perlu membuka satu siasatan dan membawa perkara tersebut kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan pendakwaan.

“Keputusan siasatan suruhanjaya diraja menunjukkan Teoh Beng Hock tidak dibunuh tetapi dia merasakan dirinya dibebani dan tertekan kerana sesi soal siasat yang agresif dan berterusan, disokong karakternya yang lemah menyebabkannya dia membunuh diri,” kata beliau pada sidang media di Parlimen hari ini.

“Faktanya, (tindakan) membunuh diri disokong oleh keterangan pakar forensik psikiatrik, Professor Paul Edward Mullen yang dilantik oleh Majlis Peguam.

“Prof Mullen berkata Teoh Beng Hock memang membunuh diri berdasarkan karakternya yang berubah daripada kumpulan risiko rendah kepada kumpulan risiko tinggi untuk membunuh diri selepas melalui sesi soal siasat yang berterusan dan agresif,” katanya.

Suruhanjaya yang ditubuhkan oleh kerajaan bagi menyiasat punca kematian Teoh Beng Hock, yang penubuhannya diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 26 Januari lepas, dipengerusikan Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri James Foong Cheng Yuen.

Suruhanjaya itu dianggotai bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Abdul Kadir Sulaiman, bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk T.S.Nathan, Pakar Perunding Patologi Forensik Hospital Pulau Pinang Datuk Dr Bhupinder Singh, Pakar Perunding Psikiatri Forensik dan Dekan Fakulti Perubatan Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya Prof Dr Mohamed Hatta Shaharom, dan Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang, Jabatan Perdana Menteri Datuk Saripuddin Kasim selaku setiausaha suruhanjaya.

Amarjeet Singh a/l Serjit Singh (Timbalan Ketua Bahagian Guaman I), Awang Armadajaya Awang Mahmud (Timbalan Pendakwa Raya) dan Kwan Li Sa (Timbalan Pendakwa Raya), dilantik sebagai pegawai pengendali suruhanjaya itu.

Suruhanjaya itu diberi tanggungjawab menyiasat punca kematian Teoh, setiausaha politik anggota exco kerajaan Selangor, Ean Yong Hian Wah, yang ditemui mati pada 16 Julai 2009 di koridor tingkat lima Plaza Masalam di Shah alam selepas memberi keterangan di pejabat SPRM yang terletak di tingkat 14 bangunan itu.

Suruhanjaya itu juga ditugaskan menyiasat sama ada terdapat apa-apa ketidakwajaran dalam perjalanan siasatan SPRM terhadap Teoh berhubung dengan Perintah-perintah Tetap dan amalannya dan untuk mengesyorkan apa-apa tindakan yang sesuai, jika perlu.

Suruhanjaya yang mengadakan siasatannya dari 14 Februari hingga 18 Mei lepas telah memanggil 70 saksi untuk memberi keterangan.

Menerusi prosiding suruhanjaya itu, pelbagai perkara baru disiasat termasuk kandungan SMS dan maklumat dalam telefon serta komputer pegawai SPRM.

Punca siasatan SPRM terhadap Teoh juga didedah hingga timbulnya isu penyelewengan lesen kontraktor bumiputera.

Bagi melengkapkan siasatan terhadap kematian yang mencetuskan kontroversi itu, suruhanjaya melantik penyiasat persendirian sendiri iaitu bekas anggota polis British, Michael Leslie Squires.

Wakil Majlis Peguam dan peguam SPRM Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah turut membantu anggota suruhanjaya itu.

Laporan hasil siasatan suruhanjaya itu telahpun diserah kepada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin bulan lepas.

Sebelum ini satu inkues yang dikendalikan Koroner Azmil Muntapha Abas membuat keputusan terbuka iaitu kematian Teoh bukan disebabkan bunuh diri, homisid atau penglibatan pihak ketiga.

Sepanjang prosiding inkues dari 29 Julai 2009 hingga 4 November 201 itu, 37 saksi dipanggil termasuk beberapa pegawai SPRM serta pakar patologi dari Thailand, Dr Pornthip Rojanasunand.

Laporan itu akan dijual mulai esok di Bahagian Hal Ehwal Undang-undang, Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya mulai esok.

Buku laporan 124 muka surat itu dijual pada harga RM45 senaskhah dan boleh diperoleh dalam kedua-dua Bahasa Inggeris dan Bahasa Malaysia.

Tiada ulasan: