Ahad, 3 Julai 2011

SLAMISASI MANGSA BIROKRASI DI SABAH


Oleh : NASPAZI


DIKATAKAN bahawa Islam itu mudah dan indah. Tetapi, Islam dalam konteks birokrasi atau segugusan peraturan Islam di Sabah masa kini benarkah begitu? Apa pun, situasi yang sedang berlaku kepada keluarga muallaf dalam peristiwa ini mungkin dapat memberi gambaran ringkas tentangnya.

Sebuah keluarga pagan (tiada agama) yang salah seorang dari anak perempuannya telah memeluk Islam (menjadi muallaf). Selang beberapa lama berikutnya, anak gadis tersebut hendak mendirikan rumahtangga (berkahwin atau bernikah) dengan lelaki pilihannya yang juga baru memeluk Islam (menjadi muallaf).

Pejabat Agama atau penguasa Agama Islam di daerah mereka tidak mahu menikahkan pasangan tersebut atas alasan masalah wali; sebab bapa gadis tersebut masih pagan. Demi kasih sayang, bapa gadis tersebut telah sanggup atau bersetuju membawa ahli keluarganya memeluk Islam, dengan harapan ia boleh atau sah menjadi wali pernikahan anak perempuannya.

Malangnya, pejabat agama atau penguasa agama Islam di daerah mereka, masih tidak mengahwinkan anaknya, atas alasan bapa gadis tersebut muallaf (baru memeluk Islam) dan pada waktu yang sama, pejabat agama atau penguasa agama Islam di daerah mereka tidak pula berusaha untuk membantu atau memberi sokongan moral kepada mereka dengan mencari jalan bagi memudahkan pasangan tersebut melangsungkan perkahwinan mereka dapat disegerakan, sedangkan pejabat agama daerah sendiri boleh menjadi ‘Wali Hakim’ bagi menyegerakan pernikahan pasangan tersebut.

Bahkan, keluarga muallaf tersebut seakan bola yang ditendang ke segala penjuru dan sudut beberapa pejabat agama Islam di Sabah bagi mendapatkan keizinan atau kebenaran untuk kahwin yang telah berlarutan dan hingga kini saya difahamkan bahawa, pasangan tersebut masih belum dinikahkan atau masih belum melangsungkan perkahwinan mereka.

Natijahnya, saya juga difahamkan bahawa keluarga muallaf tersebut sudah sampai ke tahap bosan, benci dan meluat dengan birokrasi pejabat agama atau penguasa Agama Islam di daerah mereka.

Justeru, walaupun saya bukan atau tidak pakar agama Islam, namun dalam situasi yang berbangkit ini saya nyatakan bahawa, ia tidak sewajarnya menjadi begitu rumit atau amat menyusahkan keluarga muallaf tersebut dengan mengambil kira bahawa, keluarga tersebut telah memeluk Islam (menjadi muallaf).

Saya tegaskan bahawa, tidak ada bezanya antara wali nikah yang muallaf dan tidak muallaf atau Islam keturunan. Sekalipun gadis tersebut lahir ketika kedua ibu bapanya belum memeluk Islam, namun ia adalah anak kandung keluarga tersebut dalam ikatan pernikahan yang sah dan kini telah seagama setelah satu keluarga memeluk Islam.

Dengan kata lain, sesudah seluruh keluarga tersebut memeluk Islam, maka pejabat Agama tidak sah lagi menjadi wali nikah dan yang lebih berhak menjadi wali nikah adalah bapa kandung sendiri gadis tersebut.

Rasullullah s.a.w. bersabda: ‘Kalau datang kepadamu lelaki beragama dan berakhlak baik, maka nikahkanlah ia. Jika kamu tidak melakukannya, nescaya akan terjadi fitnah dan kerosakan yang besar’. (Riwayat At-Tamizi).

Al-Qurthubi mengatakan: ‘Bagi orang yang mampu kahwin, sedang dia khuatir dirinya terjerumus ke dalam dosa sehingga agamanya tidak terpelihara akibat membujang, dan hanya kahwin sahaja boleh menjamin terpelihara agamanya, maka tidak ada perbezaan pendapat mengenai wajibnya perkahwinan dalam keadaan seperti ini”.

Rukun Rukun Nikah

1. Lafaz ijab dan Kabul

2. wali

3. dua orang saksi

4. lelaki (bakal suami)

5. perempuan (bakal isteri)

Istilah muallaf atau orang yang baru memeluk Islam jelas disebut di dalam al-Quran.

“…Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin dan amil-amil yang menguruskannya dan orang-orang muallaf yang dijinakkan hatinya dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah…” - (Surah At-Taubah: 60)

Yang demikian, gelaran muallaf (baru memeluk Islam) dalam konteks paradigma Islam adalah orang yang mulia atau satu kemuliaan. Bahkan, menjadi muallaf juga laksana kanak-kanak yang baru dilahirkan, lantaran ia masih bersih daripada dosa dan noda.

Justeru, golongan muallaf adalah golongan yang istimewa. Dengan ungkapan lain, mereka wajar diberi perhatian dan sokongan moral.

Malangnya, ada pun situasi yang berlaku ke atas keluarga pagan yang dimaksudkan terang dan nyata kebajikan mereka sebagai muallaf bukan sahaja diabaikan, bahkan gagal diberi sokongan moral oleh birokrasi Islam yang bertanggungjawab.

Lantaran, mereka dipaksa dan terpaksa berhadapan dengan pelbagai kesulitan dan kerenah birokrasi Islam atau segugusan peraturan Islam yang begitu menyusahkan mereka, sehingga ungkapan ‘Islam itu mudah dan indah’ seakan tersorok di dalam gaung yang dalam tanpa cahaya; ataukah agama selain Islam dalam konteks Sabah yang wajar memberi laluan buat pasangan tersebut dalam usaha melangsungkan perkahwinan mereka yang sekian lama tertangguh akhirnya?

Tiada ulasan: