Rabu, 20 Julai 2011

Simulasi PRU-13 Umno juga kenal pasti nama calon, kata SU Agung

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR– Simulasi pilihan raya yang dijalankan di semua bahagian Umno berjalan lancar, kata Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Simulasi pilihan raya diadakan atas arahan Majlis Tertinggi Umno pada 27 Mei, yang memutuskan ia hendaklah diadakan sebagai persiapan menghadapi pilihan raya umum ke-13.

“Tidak ada simulasi di peringkat pusat atau di ibu pejabat Umno, kita cuma adakan di bahagian-bahagian,” katanya dipetik Bernama Online hari ini.

Menurut Tengku Adnan, dalam proses simulasi itu, bahagian-bahagian telah memilih, mengenal pasti nama-nama pengundi, nama-nama calon dan jawatankuasa pilihan raya parti supaya proses berkenaan dapat diadakan selancarnya.

Beliau juga berkata semua 191 bahagian Umno juga sudah mengadakan persidangan perwakilan masing-masing.

Tengku Adnan berkata ibu pejabat Umno sedang membuat persediaan bagi Perhimpunan Agung Umno yang dijangka diadakan pada 29 atau 30 Oktober hingga 3 November.

Umno sebelum ini memutuskan supaya pemilihan di peringkat cawangan, bahagian dan Majlis Tertinggi yang dijadualkan diadakan pada tahun ini ditangguhkan selama 18 bulan.

Keputusan itu dibuat bagi membolehkan Umno memberi tumpuan kepada proses pemantapan dan pemulihan parti berdasarkan Model Baru Politik yang bertujuan memastikan kelangsungan Umno sebagai parti yang menerajui pemerintahan negara.

Tiada ulasan: