Isnin, 18 Julai 2011

Satu lagi catatan 709 yang terharu buat 1Malaysia: Jika itu ajalku..

Suhaila Lukman


Perhimpunan yang pada awalnya aman terus bertukar menjadi huru hara selepas FRU datang dan tiba-tiba menyemburkan water canon serta gas pemedih mata. Alhamdulillah penulis sempat lari ke kawasan yang agak selamat. Ketika itu penulis berada di tempat yang tinggi dan boleh nampak semua apa yang berlaku. Memang, tembakan FRU rambang tanpa mengira kanak-kanak, orang tua yang uzur dan wanita.

Seorang pemuda Cina menghampiri penulis dan ibu saya lalu menghulurkan penutup muka. Lima helai diberikan pada kami bagi elakkan hidu gas berlebihan. Ketika itu ada bersama dengan penulis empat orang peguam dan seorang doktor pakar perubatan yang sedang memantau keadaan sambil mencatat sesuatu sebagai pemerhatian mereka. Sempat juga berbual dengan mereka sekejap walau dalam keadaan begitu. Mereka sanggup harungi segala halangan walau dalam keadaan baju berkot, mereka juga menyokong BERSIH.

Lalu kami berjalan menuju ke Puduraya. Di sana, subhanallah ramainya orang, kami berjalan lagi untuk menuju ke tempat tujuan utama perhimpunan. Beberapa minit penulis berada di sana, pihak polis mula menghampiri kami. Tetapi rakyat tegar tidak berundur. Kami disekat di hadapan. Perjalanan terhenti. Ketika itu, penulis sedang berjalan dalam keadaan beg tergalas di bahu dan kamera DSLR yang tergantung di leher. Tertoleh ke sebelah kanan penulis, ada seorang warga tua berbaju kuning dan di tangannya memegang bunga warna kuning. Dia senyum pada penulis. Lalu penulis membalas senyuman dan penulis menegurnya. "Wah auntie, bunga kuning, baju pun kuning?" Dan dia balas "HIDUP KUNING!" sambil tersenyum menampakkan barisan giginya dan mengangkat bunga tersebut.

Kemudian diangkatnya tangan penulis yang memakai armband BERSIH sambil laungkan BERSIH. Tersenyum bahagia penulis lihat auntie tu... Rupanya dialah AUNTIE ANNIE yang jadi Heroin Bersih dan cukup terkenal dengan keberaniannya sekarang. Ketika itu, perundingan dibuat dengan polis supaya memberi jalan tapi sedikitpun tidak diendahkan. Ketika itu, permintaan rakyat secara lembut untuk berjalan dalam keadaan aman juga tidak diendahkan.

Beberapa minit kemudian, penulis yang berada di tengah-tengah kumpulan lihat ke hadapan, kelihatan mereka sudah lari menuju ke balakang. Rupanya gas pemedih mata telah dilepaskan tanpa mempedulikan perundingan damai kami. YB yang mengetuai perundingan dengan polis bagi memohon laluan jalan dibuka kepada rakyat juga akhirnya ditangkap, rakyat di belakang disembur gas pemedih mata. Ketika ini, tindakan mereka cukup kejam. Janji hanya tinggal janji, sebaliknya racun diberikan kepada kami.

Hilang semburan pertama yang berdas-das tembakan, rakyat kembali semula menuntut dibuka laluan. Tapi kami disembur lagi dengan gas. Ketika itulah hujan mulai turun. Alhamdulillah Allah datangkan pertolongan buat hambaNya. Bantuan hujan daripada Allah membantu mengurangkan dan menghilangkan semburan gas dalam masa yang singkat. Juga dapat mengurangkan kepedihan di kulit apabila terkena gas / water cannon. Di mana, jika terkena gas tersebut, ruang pernafasan disekat seolah terhenti, kulit pedih dirasa macam terbakar kena api dan mata tidak mampu dibuka. Water Cannon pula kalau kena, boleh menghilangkan tenaga dan akan menyebabkan kegatalan di kulit. Sebab itulah dalam garis panduan peserta BERSIH digalakkan membawa garam supaya boleh memulihkan tenaga.

Satu keajaiban yang benar-benar membuatkan penulis cukup tersentuh seolah mahu sujud ketika itu juga. Apabila setiap kali gas pemedih mata ditembak, setiap kali itulah hujan turun. Bila dah clear gas di udara, hujan mula berhenti. Ditembak lagi gas pemedih mata dan ketika itu juga hujan turun dengan tiba-tiba bersama peluru gas pemedih mata. Keadaan ini berulang selama tiga kali. Subhanallah.. Hampir menangis penulis di situ menyedari Allah begitu hampir dan bantuan Allah tiba pada kami semua. Dengan hujan, dapat mengurangkan kandungan gas yang dilepaskan. Kedengaran ramai yang mengucapkan Alhamdulillah dan menadah tangan bersyukur pada Allah. Sungguh, tersentuh dengan keadaan sebegitu.

Butiran gas pemedih jatuh di belakang penulis

Keadaan jadi lebih genting apabila kami sekeluarga terpaksa berpecah dalam keadaan getir. Ayah penulis di tempat lain, emak penulis penulis di tempat dan penulis di tempat lain. Adik-adik penulis ada bersama penulis. Seorang berumur 11 tahun dan seorang lagi berumur 6 tahun.

Ketika itulah gas pemedih mata ditembak dalam jarak yang jauh dan butiran peluru tembakan tersebut betul-betul jatuh di belakang penulis. Sangat hampir dengan penulis. Allah, masa tu yang ada dalam fikiran penulis hanya nak selamatkan adik-adik penulis. Kami berlari sambil menyebut AllahuAkbar. Telah penulis pesan pada adik-adik ketika dalam perhimpunan tersebut jangan pernah berhenti sebut AllahuAkbar. Dan jika berlaku apa-apa, kuatkan suara sebut AllahuAkbar. Mereka ikut.

Penulis suruh adik penulis yang 11 tahun lari dahulu selamatkan diri. "Amir, lari dulu selamatkan diri cepat! Tinggalkan akak, akak nak selamatkan Wafi! Lari cepat!" itulah yang keluar dari mulut penulis ketika itu. Penulis tahu adik penulis teragak-agak. Tapi dia juga tiada pilihan, lalu dia lari dahulu.

Penulis terus lari sambil tangan kanan penulis menutup muka penulis dengan kain basah dan tangan kiri memekup muka adik penulis. Penulis tahu adik penulis tidak berdaya lagi ketika itu kerana kena gas terlalu banyak. Mukanya dah merah, mata dah berair, badan dia dah lemah. Penulis terpaksa gagahi juga memekup mukanya sambil membawanya lari ke tempat selamat. Tapi, setengah perjalanan, penulis pula sudah tidak berdaya dan hampir pengsan. Mata penulis kabur. Tangan kiri masih memekup muka adik penulis, penulis tahu dia lemas tapi penulis terpaksa, sambil tangan kanan penulis menyeluk beg sandang ambil air sebotol untuk diteguk dan menyimbah muka penulis bagi mengurangkan kepedihan. Malangnya, tekak penulis tidak lagi boleh menerima air (tidak boleh telan air). Terlalu sakit akibat sedutan gas yang terlalu banyak.

Allah saja yang tahu waktu tu betapa penulis mengharap sangat padaNya. Sehinggakan penulis sudah niatkan dalam hati sambil berlari, "Ya, Allah jika di sini ajalku, ambillah nyawaku ketika aku mempertahankan agamaMu dan terimalah nyawa pinjaman ini sebagai mati syahid." Memang penulis redha waktu tu sebab memang dah tak boleh nak bernafas, hampir pitam. Dada rasa terlalu pedih seperti ditucuk pisau.

Pemuda Cina mendukung adik penulis

Di satu selekoh, penulis dengar seorang pemuda Cina menjerit ke arah pemuda-pemuda berkopiah putih. "Ada budak! Ada budak dengan seorang wanita. Tolong cepat!" Penulis masih sedar lagi dan terus penulis cakap, "Selamatkan adik saya dulu, tolong dukung dia cepat!" Sebab ketika itu adik penulis dalam rangkulan penulis, lalu pemuda tersebut terus mendukung adik penulis dan bawa lari ke tempat selamat. Dia cukup lemah. Berderai air mata penulis melihat dia dalam keadaan tidak berdaya. Penulis terus selamatkan diri dalam keadaan berlari. Sambil lari, seorang peguam India menghulurkan garam pada penulis. "Dik, ambil garam ni letak bawah lidah cepat, pulihkan tenaga." Katanya pada penulis dalam keadaan sambil berlari. Terus penulis ambil dan kemam garam tersebut.

Sampai di satu kawasan selamat dari gas, penulis terus menerpa ke arah adik penulis. Ketika itu mereka yang ada di sana sedang berusaha selamatkan adik penulis. Tapi penulis dihalang lalu disambut oleh kaum wanita bila penulis hampir rebah ke bumi sebab penulis sendiri dalam keadaan cukup lemah dan ketika penulis sampai, memang penulis sesak nafas. Lalu seorang wanita Cina, India dan seorang makcik bertudung labuh menghampiri penulis memberikan bantuan. Wanita Cina beri bantuan air untuk diminum dan menjiruskan di muka penulis, wanita India beri garam lagi untuk kembalikan tenaga sambil mengipaskan dan wanita Melayu bertudung labuh menggosok belakang penulis sambil menepuk-tepuk. Ketika itu kami berada dalam keadaan kehujanan yang membasahi kami. Bayangkan, dalam keadaan tengah-tengah hujan buat rawatan.

Penulis rasa bertenaga sikit dan dah tersedar dari hampir pitam, lalu penulis terus menerpa ke adik penulis yang sedang diberi bantuan oleh beberapa orang pemuda. Terus penulis capai sebotol air dan jirus ke seluruh tubuh adik penulis yang tidak bermaya dan disuapkan garam ke mulutnya. Lalu penulis memeluk adik penulis untuk beri semangat padanya sambil ucapkan di telinga adik penulis, "Wafi, sebut AllahuAkbar! Allah! Allah! Akak tahu wafi kuat! Ingat Allah wafi! Wafi mesti kuat! Akak ada dengan wafi ni" Itulah yang penulis ucapkan di telinganya dalam keadaan separuh menjerit untuk beri semangat padanya. Perlahan-perlahan bibirnya mengucapkan AllahuAkbar. Hampir berbelas orang mengerumumi kami ketika itu. Yang Islam semuanya mengucapkan AllahuAkbar. Dan yang bukan Islam terus memberi samangat dengan cara mereka tersendiri.

Penulis menatap wajah adik penulis sambil memegang kedua pipinya. Merah mukanya, air matanya mencurah tanpa henti akibat gas tersebut. Nafasnya sesak. Menangis penulis waktu itu menatap wajah adik penulis sambil menciumnya dalam kehujanan untuk beri semangat padanya. Air hujan yang membasahi kami terus hanyut bersama air mata. Sayu. Ketika itu bertalu kamera mengambil gambar kami, tapi semua itu sudah tidak penulis pedulikan, Yang penting adik penulis selamat.

Bersihnya hati orang BERSIH

15 minit kemudian, dia kelihatan bertenaga sedikit. Penulis tenung wajahnya lalu dia mampu tersenyum pada penulis. Terus penulis peluk dia. Alhamdulillah syukurnya. Yang lain semua bertepuk tangan bila lihat adik penulis tersenyum. Lalu bergilir-gilir mereka memeluk adik penulis tanpa kira kaum. Subhanallah. Sungguh harmoni. Penulis terkelu lidah, terkesima lihat pelbagai kaum datang beri bantuan dan beri semangat ketika kejadian. Sungguh, penulis rasa bagai satu keluarga yang kukuh ikatan. Tidak rasa langsung seperti orang asing walau berbeza kaum. Masing-masing sibuk membantu. Ada seorang makcik menangis melihat keadaan penulis yang berusaha selamatkan adik penulis dan katanya dia juga terharu lihat pelbagai kaum datang beri bantuan. Ya, kami memang umpama mempunyai ikatan keluarga ketika itu.

Setelah agak bertenaga, penulis menggalas beg kerana mereka yang berada di situ mengajak untuk menuju ke tempat yang teduh dari hujan dan lebih selamat lagi kerana ketika itu tempat tersebut hampir dengan sekumpulan polis. Ketika kejadian, kami semua dibasahi hujan tanpa teduhan. Dan hujan itu adalah hujan rahmat buat kami. Itulah bantuan Allah. Penulis berusaha mendukung adik penulis, tapi ditegah oleh seorang pemuda. Katanya "Enti baru pulih, macam mana nak dukung adik". Tanpa penulis balas percakapnnya, dia terus mengambil adik penulis untuk didukung. Dan yang lain semua berjalan mengelilingi penulis. "Subhanallah bersihnya hati orang-orang yang mengikuti BERSIH ini". Detik hati penulis ketika itu.

Terima kasih buat semua yang membantu. Walaupun kita berlainan agama dan berlainan kefahaman tapi matlamat kita ketika itu sama. Dan sehingga sekarang matlamat kita selari. Kita semua dalam satu barisan dan matlamat kita di hadapan.

p/s: Sampai sekarang bila tanya "Wafi nak pegi lagi tak BERSIH tu? Bersungguh-sungguh dia anggukkan kepala nak pegi. Semangat!

*Nota penulis: Sekadar untuk berkongsi cerita dan pengalaman serta memberikan semangat kepada pemuda di luar sana. Jika anak sekecil itu kuat semangatnya, apatah lagi pemuda di luar sana

**Tulisan ini dihantar daripada Suhaila Lukman kepada MerdekaReview. Untuk catatan yang lebih terperinci, sila rujuk http://suhaila-annur.blogspot.com/ . **MerdekaReview sedang memilih tulisan dari edisi bahasa Cinanya untuk diterjemahkan, dan mengalu-alukan tulisan daripada pembaca edisi bahasa Malaysia. Tulisan yang baik dan bermakna juga akan diterjemahkan kepada bahasa Cina, untuk dikongsikan bersama. Sila email kepada editorial_bm@merdekareview.com. Terima kasih.

Tiada ulasan: