Rabu, 20 Julai 2011

Pensyarah Kias ikuti program cuti penyelidikan

Salmah Mat Husain


KOTA BHARU: Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (Kias) memperkenalkan cuti penyelidikan sempena cuti semester bagi memantapkan lagi kecemerlangan akademik di kalangan pensyarah.

Program itu dimulakan pada semester lepas membabitkan sebahagian daripada 50 pesnyarah kolej berkenaan.

Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, cuti penyelidikan selama tiga bulan membolehkan pensyarah menambah ilmu pengetahuan ketika pelajar bercuti.

”Ilmu perlu sentiasa dicari khususnya pada zaman serba mencabar sekarang Dengan adanya ilmu yang mantap ia dapat dimanfaatkan kepada masyarakat serta boleh berinteraksi dengan baik dalam bidang tertentu.

“Tidak nanti pensyarah hanya digelar robot akademik semata-mata,” katanya sempena Istiadat Konvokesyen Kias kali ke-13, di sini semalam.

Teks ucapannya dibaca Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah negeri, Datuk Mohd Amar Abdullah.

Majlis penuh istiadat itu berlangsung di Dewan Besar Balai Islam Lundang. Hadir sama Ketua Eksekutif Kias, Datuk Dr Johari Mat dan para pensyarah.

Seramai 180 graduan Kias menerima ijazah dan diploma. Mereka merupakan graduan Sarjana Muda Al-Syariah, Sarjana Muda Usuluddin, Diploma Usuluddin, Diploma Al-Syariah dan Diploma Al-Dakwah Wal Qiadah dan Diploma Bahasa Arab.

Sementara itu Nur Amalina Fauzi dinobatkan pelajar cemerlang dan menerima Anugerah Tok Kenali 2011 pada konvokensyen berkenaan.

Amalina yang masih dalam pantang menerima anugerah tersebut daripada Mohd Amar.

Manakala Zaida Norasikin Mohd Nasir dan Norhayati Mohmad Nor pula masing-masing menerima anugerah Menteri Besar dan Timbalan Menteri Besar Kelantan.

Tiada ulasan: