Isnin, 4 Julai 2011

Pendidikan: Sabah terus dipinggirkan oleh Putrajaya

Roketkini.com


SANDAKAN – Kuasa Kementerian Pelajaran berhubung hal-ehwal pendidikan Sabah perlu dipindahkan kepada Jabatan Pelajaran Negeri demi hak autonomi dan kemajuan pendidikan anak-anak negeri Sabah.

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata senario pendidikan di Sabah bercelaru kerana tiada pertanggungjawaban jelas di antara Menteri yang berpusat di Putrajaya dan Pengarah Pelajaran Negeri di Kota Kinabalu.

Katanya keadaan yang kelam-kabut itu menyebabkan pelajar, guru dan ibu bapa di Sabah terpaksa menanggung derita apabila berlaku keadaan di mana:

1. Bangunan-bangunan sekolah tidak selamat – kira-kira 90 sekolah di Sabah sering mengalami masalah banjir seperti di SMK St. Peter di Telipok;

2. Bilik-bilik darjah seperti kabin yang tidak bermutu, pembinaan tidak sempurna, lubang-lubang tidak ditampal, bumbung zink tidak ditempatkan dengan betul yang mana menjadi ancaman kepada keselamatan pelajar dan guru;

3. Sabah mempunyai makmal-makmal komputer tanpa komputer atau komputer tanpa bekalan elektrik – di mana kebanyakan daripada 300 makmal komputer hanya menjadi hiasan dan tidak dapat digunakan;

4. Projek bernilai RM7 juta untuk menaikkan taraf SMK Peter Mojuntin di Penampang menjadi Sekolah Sukan telah terbengkalai dan dibiarkan begitu sahaj sejak tiga tahun lalu;

5. Bayaran untuk kerja-kerja kontrak sekolah dibayar oleh Putrajaya dan bukannya oleh Jabatan Pelajaran Negeri yang menyebabkan kekeliruan tugas dan tanggungjawab;

6. Kelewatan kenaikan pangkat guru di Sabah yang hanya boleh dibuat oleh Putrajaya menyebabkan 22 sekolah tidak mempunyai pengetua untuk tempoh di antara 6 bulan dan 24 bulan yang mengakibatkan pentadbiran sekolah tidak sempurna.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur mahu Putrajaya menuruti cadangan Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah Datuk Seri Salleh Said Jabatan Pelajaran Negeri diberi lebih kuasa dan autonomi.

Salleh mendakwa banyak bangunan sekolah di Sabah perlu diperbaiki manakala projek-projek pendidikan yang dijanjikan tidak dilaksanakan secara sistematik kerana semua urusan pendidikan, termasuk perkara-perkara kecil dan remeh, perlu ditujuk kepada Putrajaya.

Saranan Salleh juga telah mendapat sokongan Pengarah Pelajaran Negeri Datuk Dr Muhiddin Yusin yang mahu kerajaan pusat memberi lebih kuasa kepada jabatan negeri dalam membuat keputusan dan melaksanakan projek pembangunan pendidikan, terutamanya penyelenggraan, latihan dan pengambilan guru.

Buat masa ini, jabatan negeri tidak dibenarkan untuk mengurus sebarang peruntukan pembangunan bagi projek-projek walau pun yang bernilai di bawah RM500,000, sedangkan Perbendaharaan pusat telah memberi kuasa kepada jabatan negeri untuk mengendalikan projek bernilai kurang daripada RM500,000.

Dengan itu, Kit Siang meminta Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya kurangkan bermain politik dan menumpukan tugasnya dengan serius kerana beliau sedang menuju ke arah menjadi menteri pendidikan yang paling buruk dalam sejarah negara.

Tiada ulasan: