Khamis, 14 Julai 2011

Pena adalah senjata tercanggih

Oleh Amaluddin Zhafir


11 JULAI – Ada sesuatu yang cuba disampaikan melalui “penderitaan” yang dibawakan oleh Sasterawan Negara (sekarang lebih mesra dengan gelaran Sasterawan Rakyat) A Samad Said berkaitan istilah baru ciptaan beliau, iaitu “carma” atau cari makan yang ditujukannya kepada golongan intelektual, seniman, wartawan dan yang sama jenis dengannya.

Memetik dari MerdekaReview, Samad Said berkata: “Daripada medium mainstream, Bersih 2.0 itu kotor. Saya sekarang pun hairan juga mengapa orang akhbar yang begitu berpengalaman, mendapat anugerah itu dan ini boleh mengotorkan Bersih? Saya tidak faham, tapi saya tahulah di sana ada kelompok-kelompok semata-mata ‘carma’, cari makan.”

Samad yang dibawa ke balai polis sewaktu pelancaran Bersih 2.0 berhubung puisinya “Unggun Bersih” juga memperkatakan tentang sajak sebagai senjata.

Dalam apa-apa keadaan, sama ada tekanan politik, sosial, agama, atau pun ekonomi, puisi dan seni secara keseluruhannya memang upama setajamnya mata pedang.

Ketika Asas 50 dilahirkan dengan tema Seni Untuk Masyarakat melalui tokoh-tokohnya seperti Usman Awang, Samad Ismail, Asraf dan lain-lainnya, Samad Said waktu itu dikatakan “menjauhkan diri” daripada politik semasa dan lebih dalam dunia seninya.

Walau beliau sendiri adalah anggota Asas 50, karya-karya dikatakan lebih kepada seni untuk seni. Mungkin Samad sendiri tidak suka dengan tanggapan tersebut tetapi nyata beliau tidak dianggap peneraju Seni Untuk Masyarakat.

Mungkin selepas lebih 40 tahun, Samad telah tersedar betapa pentingnya seni atau puisi sebagai makanan ruji kepada masyarakat dalam membentuk tamadun yang lebih berakal, dan berilmiah. Apatah lagi dalam kongkongan kuasa yang tidak senang dengan kebebasan bersuara dan berekspresi di Malaysia masa kini.

Malangnya puisi terlalu dianggap sempit oleh segolongan rakyat Malaysia, Melayu secara umumnya, seolah-olah karya seni sastera tidak banyak bezanya dengan lirik lagu-lagu pop yang berkumandang setiap hari di radio dan TV.

Kerana “Unggun Bersih” yang dilihat mungkin bahaya bagi minda Melayu, Samad selepas selesai dari “perbincangan” dengan pihak polis baru-baru ini, telah memberitahu wartawan bahawa puisi sudah dianggap sebagai senjata.

Dan langsung serta-merta masyarakat yang “berpuisi” turut melatah seolah-olah baru sehari dua puisi ini dianggap sebagai senjata.

Sebahagian orang Melayu seperti “sudah terhantuk baru terngadah,” tetapi malangnya terngadahnya itu tidak dilengkapi dengan sedikit bantuan ilmu, maka jadilah berita sensasi di dada-dada akhbar maya bahawasanya “puisi sudah dianggap sebagai senjata”.

Sedangkan sejarah sudah menceritakan perihal puisi yang menikam tepat ke hati sang pemerintah.

Mengambil contoh penyair Rusia, Osip Mandelstam telah dibuang dan diseksa di Siberia sehingga mati hanya kerana menulis sebuah puisi bertajuk “Epigram Stalin” perihal komunisme dan kezaliman di negara bekas empayar Soviet itu.

Epigram Stalin


tanah ini berbicara dan kita tak mendengar

tak kedengaran dari sepuluh langkah, kata-kata menghilang

yang kita dengar adalah pendaki Kremlin

pembunuh upahan dan sekumpulan jagal

setiap jemarinya tebal, montel, gagah

setiap patah katanya adalah besi berat menghempap

ada kecoa tertawa di bibir atas, pada wajahnya

pada butnya ada kilau yang tak akan pudar

dari kilau but itu, terpantul wajah-wajah

tuan-tuan berleher-ayam yang berlutut mengelilinginya

satu mengicau, yang lain mengiau, yang lain lagi mengisak

dia menghalakan jari telunjuk lalu omong kosong

dia menjatuhkan hukuman semudah mengulum strawberi dengan lidahnya,

dia bisa saja memeluk mangsanya seperti sahabat lama dari rumah

(Terjemahan oleh Wahyudi Mohd Yunus)

Bagaimana pun, rakyat Malaysia haruslah berterima kasih kepada kerajaan yang memerintah, bahawasanya setelah lebih 50 tahun, barulah mereka sedar kepentingan puisi itu.

Tetapi sedarkah pula semua bekas Menteri dan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan bahawa di Malaysia, sejak tamadun Tanah Melayu wujud, sudah beribu-ribu penyair yang “kurang ajar” terhadap penguasa di seantero dunia?

Sekadar renungan, saya memetik sedikit petikan puisi oleh Sasterawan Negara, Usman Awang, bertajuk “Melayu”.

Jangan takut melanggar pantang

Jika pantang menghalang kemajuan;

Jangan segan menentang larangan

Jika yakin kepada kebenaran;

Jangan malu mengucapkan keyakinan

Jika percaya kepada keadilan

Yang mungkin, jika Usman masih berada di muka bumi sekarang ini, beliau juga akan dipanggil oleh polis minggu lalu dan…tak mungkin Usman Awang akan keluarkan kenyataan berbunyi “puisi sebagai senjata”, kan?

Namun, tidak ada yang terlambatnya dalam hidup ini. Sebagaimana Bersih 2.0 yang hanya mahu pilihan raya yang adil dan bersih, tidak ada salahnya jika penyair dan peminat mereka baru sedar tentang kuasa sajak dan puisi itu.

Biarlah kita setengah abad terlewat kerana ia belum terlambat untuk sajak dan pusi mencari ruang di hati kita bagi menggerakkan tubuh yang sudah terlalu lama tidur dibuai propaganda anti-kebebasan dari atas puncak kuasa.

Tiada ulasan: