Selasa, 26 Julai 2011

Pemuda PAS Sarawak sasar 2 parlimen

Harakahdaily


KUCHING: Dewan Pemuda PAS Negeri Sarawak telah berjaya mengadakan Ijtimak Pemuda PAS Negeri Sarawak (Impak 2.0) pada 23 hingga 24 Julai lalu.

Impak 2.0 telah diadakan di Markaz PAS Sarawak di Kuching dengan kehadiran lebih 100 orang pemuda PAS Sarawak yang terdiri daripada ahli jawatankuasa Dewan Pemuda PAS Kawasan.

Antara kawasan yang hadir adalah Limbang, Miri, Sibuti, Bintulu, Sibu, Sarikie, Lubok Antu, Sri Aman, Samarahan, Batang Lupar, Batang Sadong dan Petrajaya.

IMPAK 2.0 pada kali ini amat bermakna bagi pemfokusan gerak kerja pemuda PAS Sarawak terutama selepas Pilihan raya Dun Sarawak yang lepas dan persediaan menghadapi Pilihan raya Umum ke-13 nanti.

Segala kelemahan dalam pilihan raya negeri yang lepas telah dikenal pasti dan telah dicari cara penyelesaian bagi permasalahan tersebut.

Menjelang Pilihanraya Umum Ke-13 yang dijangka sekitar hujung tahun ini atau awal tahun hadapan, Dewan Pemuda PAS Negeri Sarawak mensasarkan untuk memenangi sekurang-kurangnya 2 kerusi Parlimen dengan penyusunan gerak kerja jentera sebelum dan semasa pilihan raya berlangsung.

Selain itu, Sekretariat Pemuda Pakatan Rakyat Sarawak akan terus diteguhkan dengan usaha daftar pemilih secara bersama.

Impak 2.0 telah dirasmikan oleh Ustaz Nik Abduh Nik Abdul Aziz, Timbalan Ketua Pemuda PAS Malaysia dan penutup dirasmikan oleh Khairul Faizi, Setiausaha Pemuda PAS Malaysia.

Turut bersama-sama menjayakan Impak 2.0 kali ini adalah Dr Zuhdi Marzuki, Pengarah Jabatan Strategi Pemuda PAS Malaysia dan Ir Khairil Nizam, Bendahari Pemuda PAS Malaysia.

Tiada ulasan: