Isnin, 25 Julai 2011

Mens rea TBH: Nazri diminta rujuk kes Altantuya

Harakahdaily


KUALA LUMPUR: Penasihat DAP Lim Kit Siang meminta Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz agar merujuk dimana 'mens ria' (motif) pembunuhan Altantuya Shaariibuu sebelum mempertikaikan 'mens rea' pembunuhan Teoh Beng Hock (TBH).

Kit Siang menjawab dakwaan Nazri kononnya beliau gagal membukti motif pembunuhan TBH kerana gagal menyebut motif pembunuhan itu apabila mendakwa 'menyebabkan terbunuh' sama saja dengan 'membunuh'.

Nazri baru-baru ini mempertikaikan kenyataan Kit Siang dengan mendakwa dakwaan Kit Siang terlalu remote dan tidak boleh dipegang.

“Tengok apa yang Lim Kit Siang kata – paksa bunuh diri sama juga dengan membunuh… mana dia belajar undang-undang ini, ia terlalu remote,” selar Nazri. “Untuk membukti pembunuhan, ia mesti mempunyai mens rea (motif) dan actus reas (tindakan)… dalam kes Teoh, di mana mens rea?” soal beliau.

Lim berkata, perkataan 'mens rea' menyebabkan beliau teringat kes pembunuhan Altantuya di mana dua pegawai Unit Kawalan Keselamatan Pejabat Perdana Menteri, Azilah Hadri dan Korporal Sirul Azhar Umar telah didapati bersalah menggunakan bom C4 untuk membunuh model Mongolia tersebut pada bulan Oktober 2006 dan dikenakan hukuman gantung sampai mati.

“Rakyat Malaysia yang berfikir masih bertanya apa motif pembunuhan Altantuya oleh Azilah dan Sirul...ia membangkitkan banyak persoalan khasnya siapa sebenarnya dalang dalam pembunuhan tersebut dan mengapa dalang tersebut masih bebas?” bidas beliau.

Bagi Kit Siang, dengan mengambil kira benda-benda ngeri termasuk soal siasat SPRM yang kejam dan dipenuhi dengan penyalahangunaan kuasa yang mendorong Teoh untuk membunuh diri seperti yang dilaporkan Suruhanjaya Penyiasatan Diraja (RCI), rakyat yang berfikiran waras akan terus menjawab ia adalah satu pembunuhan.

Dalam kenyataannya, Kit Siang juga meminta Nazri mempertahankan kenyataannya yang menyatakan bahawa laporan RCI telah membersihkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pegawainya.

“Ia nampak seperti Nazri tidak membaca dan menelaah laporan RCI James Foong dengan teliti kerana di dalam laporan itu tidak ada penyataan yang membersihkan SPRM dan pegawainya dalam kematian Beng Hock di pejabat SPRM Shah Alam, 16 Julai 2009.

"Bolehkah Nazri memetik laporan RCI untuk menunjukkan bahawa ia telah membersihkan SPRM daripada sebarang tanggungjawab terhadap kematian Beng Hock?” soal Lim dalam satu kenyataannya hari ini.

Sebaliknya, Lim berkata beliau boleh memetik dua perenggan daripada laporan RCI yang menyatakan bahawa pegawai SPRM perlu bertanggungjawab terhadap kematian Teoh.

Pada perenggan 198, Lim berkata RCI menyatakan ketidakpercayaan mereka terhadap keterangan saksi pegawai SPRM Raymod Nion anak John Timban yang memberitahu RCI bahawa beliau nampak Teoh sedang berehat di atas sofa pada 6am 16 Julai 2009 di luar bilik Nadzri.

“Pada pandangan kami, beliau bukanlah seorang saksi yang berwibawa dan digunakan oleh pihak bertanggungjawab dalam kematian TBH untuk menjauhkan diri dengan memberikan tanggapan bahawa TBH bukan sahaja masih hidup pada 6am pada 16hb tetapi juga tengah berehat secara selesa dan tenang di kerusi sofa luar bilik Nadzri,” tulis laporan tersebut.

Di perenggan 201 satu pula, Lim berkata laporan RCI menyatakan bukti yang dikemukakan Raymond seolah-olah dibuat untuk disesuaikan dengan objektif tertentu yang dalam kes ini untuk menyelamatkan pegawai SPRM yang bertanggungjawab terhadap kematian Teoh.

RCI telah menolak bukti beliau sebagai tidak berwibawa dalam aspek bahawa beliau telah melihat TBH pada 6am 16hb.

“Jadi bagaimana Nazri boleh buat kesimpulan bahawa RCI telah membersihkan SPRM daripada tanggungjawab dalam kematian Beng Hock di mana perenggan 198 dan 201 telah menunjukkan bahawa pegawai SPRM bertanggungjawab terhadap kematian beliau,” soal Lim, sambil menambah bahawa Nazri perlu membaca laporan RCI itu dengan teliti.

Lim turut menjawab tohmahan bahawa DAP telah mempolitikkan isu kematian Teoh.

“Saya hanya perlu rujuk Nazri kepada laporan RCI TBH yang menyebut bahawa ‘kematian dalam tahanan barangkali merupakan jenayah paling teruk dalam dalam masyarakat yang bertamadun yang ditadbir oleh kedaulatan undang-undang",” kata Lim.

Beliau juga menyeru Nazri agar tidak memandang remeh kematian dalam tahanan sama ada kes Teoh, Ahmad Sarbaini Mohamad yang turut didapati tiba-tiba mati di dalam tahanan SPRM dan juga A.Kugan.

Dalam satu temubual dengan Mingguan Utusan, Nazri dilaporkan sebagai berkata bahawa walaupun SPRM perlu membaiki dirinya, namun RCI telah membersihkan daripada tuduhan membunuh dan ini tidak perlu dipersoalkan lagi.

Nazri turut menuduh bahawa pemimpin DAP telah mempolitikkan isu kematian Teoh sehingga mereka tidak dapat menerima keputusan RCI.

Lim turut menjemput Nazri untuk menghadirkan diri pada forum “RCI Teoh Beng Hock – Di mana kebenaran yang dijanjikan?” yang dijadual besok malam di Kuala Lumpur-Selangor Chinese Assembly Hall untuk mempertahankan dan memberikan justifikasi terhadap kenyataan beliau.

Tiada ulasan: