Khamis, 14 Julai 2011

Media, macam-macam ada.

Oleh Aishah


Hamba dengar ada hikayat Melayu dibawa oleh orang dari Goa;

barang kita perbaiki kiranya dengan istiadatnya, supaya diketahui

oleh segala anak cucu kita yang kemudian daripada kita,

dan boleh diingatkannya oleh segala mereka itu, syahdan

adalah beroleh faedah ia daripadanya

-Sulalatus Salatin

Tamadun Melayu boleh dilihat melalui dua dimensi utama iaitu berdasarkan rumpun bahasa Austronesia atau bangsa Nusantara. Ada yang mengatakan asal Melayu itu dari Sumatera, Borneo, Taiwan dan lain-lain lagi.

Pokoknya, Melayu itu merangkumi satu wilayah yang amatlah besarnya. Sungguh banyak perdebatan tentang definisi ke-Melayu-an dan ‘bangsa’ Melayu. Dan masih berlarutan.

Ada juga berpendapat Melayu bukanlah sesuatu yang esensi yang diwarisi tetapi dibentuk. Melayu merupakan identiti sosial, kata mereka.

Namun, evolusi ‘Melayu’ itu telah semakin disempitkan di sini, di Malaysia – budaya Melayu, berbahasa Melayu dan beragama Islam. Melayu dalam definisi lama tidak lagi terikat dengan istilah Melayu-Islam pada zaman Melayu moden ini yang mempunyai kepentingan politik UMNO.

Dan alam Melayu juga melahirkan karya-karyanya sendiri. Antara karya agung ialah Sejarah Melayu atau Sulalatus Salatin.

Sulalatus Salatin banyak mengajarkan kepada kita nilai keadilan, pemerintahan, kasih sayang. Adikarya ini menunjukkan kepentingan sejarah bukan satu. Terdapat pelbagai sisi penceritaan yang memerihalkan isu-isu setempat, etnik dan gender.

Sebaliknya pembentukan sejarah pada hari ini terhasil daripada praktis budaya dan pertarungan kuasa pada masa lampau. Dalam proses ini, tidak mustahil jika adanya pengkategorian subjek – protagonis-antagonis.

Subjek yang kemudiannya akan dilekat sebagai pengkhianat-pembela negara dan macam-macam jenama lagi. Dan digunakan untuk pelbagai tujuan dan tafsiran. Tidak mustahil juga akan wujud satu jalur tafsiran ‘sejarah’, sejarah yang mendukung status quo.

Begitu kita khuatir dengan peranan yang dimainkan orientalis terhadap gagasan dan karya kita.

Kita juga dihadapkan dengan penjajahan dari dalam, pemerintah. Penjajahan dilakukan atas maksud tertentu. Dan perlunya untuk menundukkan yang dijajah.

Orientalis melahirkan pelbagai teks kolonial etnosentrik yang perlu diruntuhkan mesejnya – cabarannya membaca semula teks peribumi yang terhasil sepanjang zaman penjajahan dengan sedar.

Teks tradisional Melayu yang ada juga adalah teks yang sudah diubah dan dimodenkan oleh panitera sejak ratusan tahun lalu. Inikan pula tulisan di media, buku-buku teks di sekolah serta laporan-laporan kerajaan dengan label 88/1972.

Sang pemerintah menggunakan aparatus seperti media untuk melaksanakan kepentingan politik dan menjayakan hegemoninya.

Peri pentingnya media ini dalam membina dan meruntuh imej pemimpin..atau isterinya, tidak boleh disangkal siapa-siapa.

Kebenaran itu hanya mainan mereka yang punya kuasa. Dan menjadi satu cabaran untuk masyarakat merekonstruk cara pikir sedia ada.

Semua orang cuba menjadi utusan Tuhan dan mengatakan mereka akan membela yang tertindas, tepinggir dan terkebelakang. Oleh itu, wawasan kita harus lebih tajam.

Utusan palsu tidak mati dan terhenti pada zaman Abu Bakar as-Siddiq. Secara simboliknya, media kini juga demikian – utusan palsu. Bukan pemangkin fikiran rakyat, hanya pembantut yang membantutkan fikiran.

Tak perlulah dihairankan, memang itu sifat yang diingini sang pemerintah. Kerana mereka hanya dapat menguasai dengan mudah setelah rakyat itu dapat dibodohkan dan kebenaran itu dapat dimomokkan.

Persoalannya, sejauh manakah kuasa ‘penjajah’ yang mengambil bentuk baru ini berjaya memenjarakan kudrat kepengarangan?

Di mana peranan yang harus dikerjakan oleh media sebagai semak dan imbang kelakuan pemerintah? – Roketkini.com

Tiada ulasan: