Khamis, 7 Julai 2011

Lawatan PAS tinjau pilihan raya Thailand

DETIK DAILY

BANGKOK: Dewan Pemuda PAS Pusat dan PAS Selangor berjaya menyempurnakan misi lawatan kajian dan diskusi di Bangkok, Thailand selama dua hari hujung mingu lalu, sebagai satu persediaan menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 dan untuk membina hubungan dengan parti-parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan.

Lawatan selama dua hari yang berakhir pada 2 Julai itu menemukan wakil Pemuda PAS Pusat dan PAS Selangor dengan parti Puea Thai yang kini akan menubuhkan kerajaan baru Thailand dan Parti Demokrat pimpinan Perdana Menteri Abhisit Vejjajiva, serta penerbitan isu Asia Tenggara beribu pejabat di Bangkok, Asean Affairs.

Misi disertai Naib Ketua Pemuda PAS Pusat, Dr Raja Ahmad Al-Hiss; Setiausaha Perhubungan PAS Selangor, Mohd Khairudin Othman; Pengarah Pilihan Raya Pemuda PAS Pusat, Mohd Sany Hamzan; dan Timbalan 1 Lajnah Antarabangsa Pemuda PAS, Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar.

Menurut Raja Ahmad, lawatan ini ialah sebahagian misi kajian menjelang pilihan raya umum dan satu usaha PAS sebagai kerajaan menanti untuk membina hubungan serantau dengan kerajaan, parti politik dan NGO di negara-negara jiran.

Beliau yang juga Pengerusi Lajnah Antarabangsa Pemuda PAS menyifatkan lawatan ini berjaya memperkenalkan PAS dengan lebih mendalam kepada dua parti terbesar Thailand, yang salah satunya, parti Puea Thai kini akan menubuhkan kerajaan.

"Sebagai parti yang menjadi sebahagian Pakatan Rakyat yang kini sebuah "government in waiting", misi seperti ini dapat memperkenalkan lagi PAS kepada masyarakat serantau, dan membina hubungan untuk memudahkan kerjasama pada masa depan, terutama dalam konteks negara jiran dan Asean" kata Raja Ahmad.

Raja Ahmad mengetuai sesi dialog dengan Parti Demokrat di ibu pejabat parti itu di Bangkok dan dialog ringkas dengan bakal Perdana Menteri Thailand Yingluck Shinawatra di program rali parti Puea Thai di Stadium Rajamangala, Bangkok.

Wakil PAS Selangor, Mohd Khairudin menyifatkan lawatan ini berjaya mencapai misinya apabila berjaya bertukar-tukar fikiran dengan Parti Demokrat dan Puea Thai yang kini akan memerintah Thailand.

"Pertemuan dengan dua parti terbesar Thailand telah berhasil memperlihatkan kepada mereka PAS secara bersemuka. Dialog dengan parti pembangkang dan kerajaan Thailand diharap dapat membuka ruang kepada dialog dan kerjasama lebih luas pada masa hadapan," jelas Mohd Khairudin.

Pengarah Pilihan Raya Pemuda PAS, Mohd Sany pula menyifatkan beberapa pemerhatian terhadap proses demokratik di Thailand sebagai menarik dan boleh dicontohi di Malaysia.

"Walaupun perang poster tidak semeriah di negara kita, parti-parti bertanding menyampaikan maklumat melalui kempen terbuka termasuk melalui kempen bergerak dengan kenderaan, lengkap dengan pembesar suara.

"Saluran-saluran televisyen juga tidak menghadkan liputan terhadap parti pemerintah sahaja tetapi semua parti diberikan ruang liputan dan debat," jelas Mohd Sany.

Tiada ulasan: