Isnin, 11 Julai 2011

Laporan salah, MMC beri pakar patologi kes Kugan amaran


KUALA LUMPUR– Majlis Perubatan Malaysia (MMC) memberi amaran kepada pakar forensik yang didapati telah menyediakan laporan salah berhubung bedah siasatn ke atas A. Kugan yang meninggal dunia ketika dalam tahanan polis dua tahun lalu.

MMC telah mendapati pakar forensik dari Hospital Serdang, Dr Abdul Karim Tajudin, yang melakukan bedah siasat pertama telah melanggar etika dan profesional perubatan.

Ini kerana bedah siasat kedua atas permintaan keluarga yang dilakukan doktor dari Pusat Perubatan Universiti Malaya Dr Prashant N. Samberkar mendapati Kugan meninggal dunia akibat kesan trauma teruk akibat dipukul.

“Dr Abdul Karim yang melakukan bedah siasat pertama ke atas mayat Kugan yang diseksa sehingga mati oleh polis di Balai Polis Taipan pada 20 Januari 2009.

“Laporan bedah siasat itu menyatakan kematian Kugan berpunca daripada paru-paru berair, namun laporan bedah siasat kedua dilakukan Dr Prashant mendapati Kugan mati kerana mengalami kesan trauma teruk akibat dipukul,” kata kenyatan peguam keluarga Kugan, N. Surendran yang juga Naib Presiden PKR.

Kenyataan itu memetik sedutan keputusan panel MMC.

Panel itu dipengerusikan oleh Prof Dr Lim Thiam Aun manakala keluarga Kugan diwakili oleh Surendran, M Manogaran dan Fadia Nadwa.

Kata kenyataan itu, MMC bersedia menerima bukti daripada pihak keluarga yang mengatakan Kugan telah dipukul sehingga meninggal dunia.

“Anda Dr Abdul Karim Tajudin telah mengabaikan tanggungjawab profesional anda ekoran gagal menyediakan satu laporan yang jujur sebagai ahli forensik kerajaan atau pakar patologi yang dipertanggungjawabkan untuk melakukan bedah siasat ke atas si mati, seperti mana yang termaktub garis panduan yang ditetapkan.

“Dr Abdul Karim telah diberi amaran oleh Majlis Perubatan Malaysia. Kami percaya hukuman itu sudah cukup. Bagaimanapun kami menyambut baik daripada pihak keluarga Kugan yang boleh memberikan bukti bahawa dia dipukul dan diseksa sehingga mati oleh polis,” kata sedutan keputusan itu.

Kugan, 23, suspek kes curi kereta mewah, meninggal dunia ketika dalam tahanan polis di Balai Polis Taipan USJ, Subang Jaya, antara 7 pagi dan 4 petang pada 16 Januari 2009.

Dia ditahan bersama enam individu lain.

Konstabel V. Navindran, 28, yang didakwa menyebabkan kematian Kugan telah dibebaskan daripada tuduhan itu.

Tiada ulasan: