Jumaat, 8 Julai 2011

Khutbah Jumaat sasar lagi perhimpunan esok, dakwa hak Islam dipertikai



Bersih 2.0 disifatkan sebagai sebuah gerakan yang “mempertikaikan hak Islam”. — Foto fail


KUALA LUMPUR — Buat minggu kedua berturut-turut, khutbah Jumaat mengecam perhimpunan yang dirancang untuk diadakan di ibu negara esok, tetapi hari ini ia mendakwa pihak tertentu cuba meruntuhkan perpaduan dengan “mempertikaikan hak Islam dan memperalatkan Muslim.”

Khutbah kebangsaan yang diperoleh dari laman web Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menyebut, golongan itu cuba dengan pelbagai helah dan cara.

“Persoalan besar timbul di sini, siapakah sebenarnya golongan yang menjadi pengkhianat pada agama, bangsa dan negara ini?

“Mimbar ingin menyatakan bahawa mereka ini sebenarnya pernah menimbulkan kemarahan umat Islam. Mempertikaikan hak-hak orang Islam serta memperalatkan sebahagian daripada pemimpin yang beragama Islam yang dikaburi oleh keghairahan untuk mendapatkan kuasa,” katanya.

Khutbah itu tidak menyenaraikan pemimpin-pemimpin yang dimaksudkan.

Bagaimanapun sebelum laporan media menjurus kepada sebahagian kepimpinan sekretariat Bersih 2.0 dan juga Pakatan Rakyat.

Khutbah hari ini yang bertemakan “Rapuh Perpaduan Runtuh Keamanan” mendakwa mereka menghasut dengan menyemai perasaan tidak puas hati dan benci ke atas pemerintah.

Khutbah minggu lalu pula bertemakan “Memelihara Nikmat Keamanan”, di mana ia memfokus ke atas perhimpunan yang dirancang untuk diadakan oleh Bersih 2.0 di ibu negara esok.

Pergerakan Pemuda Umno dan Perkasa juga merancang mengadakan perhimpunan balas esok, tetapi dibatalkan.

Kata khutbah itu lagi, pelbagai pendekatan mereka lakukan termasuklah melalui undang-undang dan mahkamah.

Malah katanya, tidak cukup dengan itu, mereka mempengaruhi rakyat melahirkan perasaan benci dengan melaungkan slogan tertentu dengan berbagai cara.

“Inilah mereka yang sebenarnya, bertopengkan atas dasar menuntut keadilan dan ketelusan, menjadikan rakyat sebagai perisai tetapi hakikatnya mempunyai agenda tersendiri untuk menghuru-harakan negara, melemahkan pemerintah dan perpaduan rakyat yang akhirnya membawa tanggapan di mata dunia bahawa negara ini tidak lagi berada dalam keamanan,” katanya.

Justeru kata khutbah, mimbar ingin menegaskan kepada jemaah dan umat Islam sekalian bahawa sesiapa yang terlibat dan bersekongkol dengan golongan itu sebenarnya telah mengkhianati agama Allah s.w.t, terpesong daripada ajaran Rasulullah s.a.w., melakukan dosa yang besar dan menzalimi umat Islam serta keharmonian negara.

“Justeru itu, sebagai umat Islam yang mempunyai jati diri, cintakan agama, bangsa dan negara, diseru agar tidak bersama dengan golongan ini, jangan terpengaruh dengan pujuk rayu dan tipu daya mereka.

“Marilah sama-sama kita mempertahankan setiap inci tanah air kita ini dari dicerobohi oleh musuh-musuh Islam, marilah sama-sama kita berganding bahu, bersatupadu, merapatkan saf, mengeratkan perpaduan di kalangan kita agar apa jua usaha pihak musuh untuk menggugat keharmonian dan keamanan negara dapat digagalkan,” katanya lagi.

“Mimbar menyeru seluruh umat Islam sekalian agar jangan sekali-kali kita terpedaya dengan godaan musuh Islam ini, jangan kita terlibat dengan agenda untuk merosakkan perpaduan ummah.

“Marilah sama-sama kita menjunjung titah khas Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin agar rakyat tidak boleh terlalu terikut-ikut dengan amalan negara luar kerana keharmonian dan kestabilan negara adalah asas penting yang perlu semua pihak pertahankan,” kata khutbah yang merujuk kepada titah baginda Ahad lalu.

Dalam titah itu, Tuanku Mizan bertitah agar setiap permasalahan yang timbul — dalam isu semasa merujuk kepada tuntutan Bersih 2.0 — diselesaikan secara rundingan dan tidak mengikut perasaan.

Baginda juga menyeru kepada pihak kerajaan agar melaksanakan segala amanah yang diberikan secara adil dan bijaksana dan “yang pentingnya.”

“Hakikatnya demonstrasi jalanan banyak membawa keburukan daripada kebaikan walaupun niat asalnya baik,” titah baginda dalam satu kenyataan.

Titah baginda itu muncul sehari selepas Putrajaya mengisytiharkan Bersih 2.0 sebagai pertubuhan haram manakala enam pemimpin dan ahli Parti Sosialis Malaysia ditahan di bawah Ordinan Darurat.Himpunan Bersih 2.0 dirancang untuk diadakan esok.

Malah Tuanku Mizan bertitah rakyat harus menumpukan kepada matlamat utama memajukan negara, bukannya mencipta masalah yang membuat negara berada terkebelakang.

“Ingatlah bumi mana yang tidak ditimpa hujan, lautan mana yang tidak bergelora,” titah baginda.

“Itulah pentingnya sifat kesederhanan dan tolak ansur yang telah begitu lama diamalkan oleh warisan pentadbiran negara,” titah baginda.

Tiada ulasan: