Khamis, 28 Julai 2011

Kes Teoh: Pasukan khas SPRM siap laporan salah laku dalam sebulan

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR – Pasukan siasatan khas SPRM yang ditubuhkan susulan laporan suruhanjaya diraja menyiasat kematian Teoh Beng Hock akan menyediakan laporannya mengenai kesalahan atau pelanggaran peraturan dalam tempoh sebulan untuk tindakan selanjutnya.

Pasukan itu yang diketuai Timbalan Ketua Pesuruhjaya Pengurusan dan Profesionalisme SPRM Datuk Zakaria Jaafar telah mengadakan mesyuarat pertamanya di Putrajaya, kelmarin.

“Pegawai-pegawai pasukan ini dikehendaki menyiapkan laporan komprehensif tersebut dalam tempoh sebulan dan laporan ini akan dibentangkan dalam Mesyuarat Khas Jawatankuasa Aduan pada 24 Ogos ini,” kata SPRM dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Anggota pasukan itu terdiri daripada Abdul Wahab Abd. Aziz, Ruslan Mohd. Yusof, Rosli Husain, Mohd. Hasnol Abdul Wahab dan Mohamad Izam Abd. Nasir yang merupakan pegawai Bahagian Kecemerlangan dan Profesionalisme.

Menurut kenyataan itu, pasukan itu akan meneliti laporan yang telah dikemukakan oleh suruhanjaya diraja berhubung tindakan salah laku dan pelanggaran peraturan serta prosedur berhubung teknik soal siasat yang digunakan terhadap Teoh dan menzahirkan fakta-fakta yang terkandung dalam laporannya berkaitan salah laku ketiga-tiga pegawai SPRM yang berkenaan dan menyediakan Laporan Tatatertib sekiranya wujud kesalahan atau pelanggaran peraturan serta prosedur untuk dikemukakan kepada Pihak Berkuasa Tatatertib.

Selain itu, ia juga akan menyediakan dan membentangkan laporan siasatan kepada Jawatankuasa Aduan SPRM dalam tempoh satu bulan daripada tarikh kuat kuasa surat pelantikan diterima.

Sabtu lalu, SPRM berkata ia akan menubuhkan pasukan khas siasatan berhubung tohmahan ke atas tiga pegawainya termasuk seorang bertaraf pengarah ekoran hasil laporan suruhanjaya diraja.

Sementara hasil laporan susulan tersebut diperolehi, tiga pegawai yang dinamakan dalam laporan suruhanjaya diraja itu akan dilucutkan atau dikecualikan daripada sebarang tugas operasi siasatan.

Suruhanjaya diraja siasatan berkata Teoh ‘terganggu’ ekoran sikap tiga pegawai SPRM yang dilabel sebagai “Arman yang membuli, Ashraf salah guna (kuasa) dan HH pemimpin yang angkuh.”

Malah, ia juga memutuskan bahawa pegawai-pegawai SPRM di Selangor sebagai terbuka kepada pembohongan.

Ketiga-tiga mereka yang dinamakan ialah bekas pengarah SPRM Selangor Hishammuddin Hashim, dua pegawainya Arman Alies dan Mohd Ashraf Mohd Yunus.

Hishammuddin kini bertugas sebagai pengarah SPRM Negeri Sembilan.

Ketiga-tiga mereka dinamakan sebagai pegawai soal siasat kes Teoh dalam laporan suruhanjaya itu, sebagai pihak yang ‘menundukkan’ Teoh ketika sesi soal siasat empat peringkat, yang bermula 15 Julai sehingga keesokan pagi.

Tiada ulasan: