KUALA LUMPUR- Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang (gambar) menegaskan, PAS sentiasa konsisten dalam perjuangannya untuk Islam di negara ini sebagaimana yang terbukti dalam isu pusat hiburan di Kedah.
Ketika mahu laksanakan Islam, PAS juga mengambil kira hak orang bukan Islam.
Apa yang berlaku di Kedah, katanya, adalah kerajaan negeri Kedah memberikan hak kepada bukan Islam di samping meminta orang bukan Islam menghormati hak orang Islam.
"Hak Islam adalah menghalang umatnya membuat maksiat. Dalam masa yang sama, kita tidak boleh memaksa orang bukan Islam untuk mematuhi peraturan Islam. Yang dibuat oleh kerajaan negeri Kedah adalah melaksanakan enakmen yang ada," katanya.
Menurut enakmen yang digubal semasa kerajaan BN lagi tetapi tidak pernah dilaksanakan, kerajaan negeri berhak untuk menutup semua pusat hiburan seperti disko, karaoke, bar dan lain-lain termasuk yang dimilki oleh bukan Islam semasa bulan Ramadhan.
Kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Razak baru-baru ini mengumumkan akan melaksanakan enakmen itu dalam bulan Ramadhan akan datang ini.
Namun, pemilik pusat hiburan ini serta parti-parti politik membantahnya dengan berkata, ia melanggar hak mereka.
Ekoran itu, selepas mendengar bantahan mereka dan mengkaji permohonan mereka, kerajaan negeri telah bersetuju untuk membenarkan ianya diteruskan dengan syarat orang Islam tidak di benarkan masuk. Namun, Umno melalui media mereka mendakwa PAS tunduk kepada DAP.
Inilah yang diperjelaskan oleh Abdul Hadi dalam sidang wawancara khas untuk Harakah dan Harakahdaily semalam.
"Kita berhak namun, dalam masa yang sama kita tidak boleh halang hak bukan Islam. Mereka pula memintanya, jadi kita kena bagi hak itu untuk kalangan mereka sahaja.
"Kita pula meminta mereka menghalang orang Islam masuk dan jika mereka gagal berbuat demikian, kita boleh tutup dan tarik balik lesen mereka," jelas Abdul Hadi dalam wawancara khas itu.
Abdul Hadi juga menjelaskan, banyak pihak mendesak agar perkara ini dilaksanakan lama dahulu iaitu selepas Pakatan Rakyat mengambil alih kerajaan negeri Kedah.
"Kita kena faham, di Kedah PAS memimpin kerajaan campuran bukan PAS saja. Ia berbeza dengan kerajaan negeri Kelantan," kata beliau menjelas kenapa ia baru hendak di laksanakan selepas beberapa tahun memerintah.
PAS juga, katanya, mengambil kira hak orang bukan Islam di negeri Kedah.
"Namun, barang yang kita tidak dapat semua, tak boleh kita tolak semua, ia hendaklah dilaksanakan ikut bidang kuasa," kata Abdul Hadi. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan