KUALA LUMPUR — Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata pihaknya akan segera meneliti secara keseluruhan laporan suruhanjaya diraja siasatan mengenai kematian Teoh Beng Hock dan mengambil tindakan sewajarnya ke atas sebarang cadangan atau syor diketengahkan.
Dalam satu kenyataan dikeluarkan, SPRM berkata ia juga komited dan telah memberi kerjasama yang penuh kepada suruhanjaya diraja sepanjang perjalanan penyiasatan tersebut dan akan menerima Ini adalah kenyataan media keputusan yang dibuat secara terbuka.
Bagaimanapun katanya, ia masih belum mendapat laporan suruhanjaya diraja.
“SPRM ingin memaklumkan bahawa sehingga hari ini belum menerima sebarang laporan yang dibuat oleh suruhanjaya siasatan diraja menyiasat kematian Teoh Beng Hock.
“SPRM akan berusaha untuk mendapatkan laporan penuh suruhanjaya berkenaan apabila laporan tersebut dijual kepada umum pada hari Jumaat (esok) sebagaimana yang dinyatakan oleh YB Menteri (Datuk Seri Nazri Aziz) dalam sidang media petang tadi,” katanya.
SPRM berkata ia akan terus menggalas tanggungjawab yang diamanahkan dalam membanteras jenayah rasuah dan memastikan teras NKRA dapat direalisasikan demi kepentingan rakyat.
Suruhanjaya diraja mendapati kematian Teoh, pembantu khas seorang anggota Exco kerajaan negeri Selangor itu pada Julai 2009, adalah akibat membunuh diri.
Keputusan itu terkandung dalam laporan setebal 124 muka surat suruhanjaya tersebut yang terdiri daripada lima anggota panel dipengerusikan Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri James Foong.
Teoh, 30, setiausaha politik kepada Exco Selangor, Ean Yong Hian Wah ditemui mati di koridor tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam, Selangor pada 16 Julai 2009 selepas memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor yang terletak di tingkat 14, plaza berkenaan.
Suruhanjaya itu dalam laporannya mendapati Teoh membunuh diri berikutan sesi soal siasat yang agresif, berlarutan, menindas dan keterlaluan.
Suruhanjaya itu juga mendapati pegawai-pegawai SPRM tiada niat dan tiada sebab untuk membunuh Teoh, sebaliknya menjalankan soal siasat untuk mendapatkan pengakuan mendiang sebagai bukti agar Teoh boleh menjadi saksi kes penyelewangan membabitkan Yong.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan