Jumaat, 22 Julai 2011

Keluarga dan rakan Beng Hock tolak keputusan RCI

MerdekaReview


"Hasil siasatan Suruhanjaya mendapati bahawa Teoh Beng Hock BUKAN DIBUNUH tetapi beliau yang merasa terbeban dan tertekan dengan sesi soal siasat yang agresif dan berlarutan, disokong dengan perwatakan beliau yang lemah telah menyebabkan beliau membunuh diri."

Demikianlah keputusan Suruhanjaya Diraja Siasatan Kematian Teoh Beng Hock, yang diumumkan oleh Menteri Jabatan Perdana Menteri Mohamed Nazri Abdul Aziz (gambar kanan) dalam satu sidang media di parlimen, hari ini.

"SPRM memulakan siasatan berikutan terdapatnya maklumat yang mengatakan bahawa ADUN Selangor dari Pakatan Rakyat terlibat dalam mengemukakan tuntutan palsu dan menggunakan peruntukan demi kepentingan parti politik mereka dan bukan bagi faedah orang ramai. TBH sepatutnya menjadi saksi utama bagi SPRM yang menyiasat dakwaan penyelewengan tersebut yang melibatkan seorang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor (EXCO) dari parti DAP. Siasatan SPRM telah memberi tekanan kepada TBH untuk membuat pengakuan sebagai bukti," tambahnya.

Sebelum ini, Nazri menyatakan, "Hasil siasatan Suruhanjaya mendapati bahawasanya tiga pegawai penyiasat yang terbabit dalam kes ini telah menggunakan taktik soal siasat yang berterusan, agresif dan tidak wajar ke atas TBH yang didapati melanggar prosedur sedia ada (para 197 Laporan)."

Beliau menekankan bahawa "Suruhanjaya Diraja mendapati bahawa pegawai-pegawai SPRM tiada niat dan tiada sebab untuk membunuh TBH." Bagaimanapun, Nazri berkata kabinet belum berbincang dalam isu sama ada untuk memohon maaf, dan memberi pampasan kepada keluarga mendiang Teoh Beng Hock.

"Lebih dikesali berbanding penghakiman terbuka"

Sementara itu, sekumpulan bekas rakan sekerja dan sahabat mendiang Teoh Beng Hock menolak kesimpulan bahawa TBH membunuh diri. Mereka menganggap banyak kesan dan bukti yang menunjukkan bahawa mustahil TBH membunuh diri, malah mempertikaikan bahawa keputusan "bunuh diri" dalam laporan Suruhanjaya Diraja ini - disifatkan sebagai "lebih dikesali berbanding penghakiman terbuka (open verdict) yang diumumkan inkues sebelum ini".

Lebih 20 orang sahabat dan bekas rakan sekerja Beng Hock berkata Teoh Beng Hock sedang membuat persediaan untuk majlis perkahwinannya, malah bakal menjadi bapa pada ketika itu. Sebagai rakan kerja, mereka mendapati Teoh Beng Hock seorang yang suka bersembang dengan kawan, tidak pasrah meskipun berdepan dengan kerumitan.

Di samping mempertikaikan motif SPRM untuk menyoal-siasat mendiang Beng Hock hingga larut malam, mereka turut mendesak agar SPRM bertanggungjawab sepenuhnya ke atas kematian Beng Hock.

Untuk mereka, kebenaran belum ditegakkan, dan mereka berikrar untuk terus menyokong kempen mengembalikan keadilan kepada Teoh Beng Hock.

Ibu Beng Hock tolak kesimpulan anaknya bunuh diri

Sementara itu, menurut laporan Bernama, ibu kepada mendiang Teoh Beng Hock, menolak hasil siasatan dan keputusan Suruhanjaya Diraja Menyiasat Kematian Teoh Beng Hock, bahawa kematian anaknya berpunca daripada bunuh diri.

Teng Huw Hoi (gambar kiri), 58, berkata beliau tetap yakin bahawa Teoh tidak membunuh diri atas alasan anaknya itu seorang yang baik. "Saya seorang ibu, saya tidak boleh terima anak saya mati bunuh diri," katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di sini, hari ini.

Teng yang enggan mengulas lanjut, sebaliknya menyerahkan kepada pihak peguam untuk mengeluarkan kenyataan. Kata Teng, beliau dan suaminya Teoh Leong Hwee serta anggota keluarga lain akan ke Kuala Lumpur pada petang ini untuk menemui peguam mereka.

"Laporan hanya bertanggungjawab kepada prosedur, bukan nyawa manusia"

Dalam satu sidang media di pejabat peguam keluarga mendiang Teoh Beng Hock, iaitu pejabat peguam Karpal Singh, adik mendiang Teoh, Lee Lan berkata, "Kami gagal menerima (keputusan siasatan RCI bahawa Beng Hock) bunuh diri. Bukan keluarga kami sahaja, seluruh rakyat Malaysia tahu bahawa beliau tidak membunuh diri, tetapi dianiayai mereka."

"Laporan memberitahu kami, kerajaan enggan bertanggungjawab, mereka nak melepaskan tanggungjawab mereka. Mengapa pula seseorang bunuh diri, sedangkan dia masih dalam keadaan yang baik apabila masuk ke dalam (pejabat)?"

Teoh Lee Lan menyanggah tuduhan bahawa perwatakan Teoh Beng Hock adalah lemah, mengambil contoh bagaimana mendiang Beng Hock pernah memimpin satu kempen menyokong ADUN Kota Alam Shah, M Manoharan, ketika Manoharan ditahan dalam balai polis. Malah, mendiang Beng Hock pernah bertugas sebagai pembantu wakil rakyat dan wartawan, bukan orang yang gagal menahan tekanan.

"Laporan hanya bertanggungjawab kepada prosedur, bukan bertanggungjawab kepada nyawa manusia. Kami tidak akan berkompromi," tegas Lee Lan, yang gagal menahan sebak.

Ketika ditanya adakah keluarga mendiang Teoh akan menuntut agar kerajaan memohon maaf, Teoh Lee Lan berkata apa yang dituntut oleh mereka adalah keadilan.

Kenyataan SPRM

Sementara itu, dalam satu kenyataannya tadi, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia berkata pihaknya akan meneliti secara keseluruhan laporan Suruhanjaya Diraja dan mengambil tindakan sewajarnya atas sebarang cadangan dan syor yang dibuat. Yang berikut adalah teks penuhnya:

SPRM ingin memaklumkan bahawa sehingga hari ini belum menerima sebarang laporan yang dibuat oleh Suruhanjaya Siasatan DiRaja Menyiasat Kematian Teoh Beng Hock.

SPRM akan berusaha untuk mendapatkan laporan penuh Suruhanjaya berkenaan apabila laporan tersebut dijual kepada umum pada hari Jumaat, 22 Julai 2011 sebagaimana yang dinyatakan oleh Menteri dalam sidang media petang tadi.

SPRM akan segera meneliti secara keseluruhan laporan tersebut serta mengambil tindakan sewajarnya ke atas sebarang cadangan atau syor yang dibuat oleh Suruhanjaya Siasatan DiRaja di dalam laporan tersebut.

SPRM komited dan telah memberi kerjasama yang penuh kepada Suruhanjaya Siasatan DiRaja sepanjang perjalanan penyiasatan tersebut dan akan menerima keputusan yang dibuat secara terbuka.

SPRM akan terus menggalas tanggungjawab yang diamanahkan dalam membanteras jenayah rasuah dan memastikan teras NKRA dapat direalisasikan demi kepentingan rakyat dan Negara.

Tiada ulasan: