Sabtu, 16 Julai 2011

Kekalkan jati diri Malaysia, kuningkan Bukit Jalil

Harakahdaily


KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) berharap rakyat Malaysia terutamanya peminat sukan bola sepak mengekalkan jati diri Malaysia dalam mana-mana perlawanan dengan pasukan luar.

Justeru, naib ketuanya, Dr Raja Ahmad al-Hiss berkata, komentar Ketua Jurulatih Pasukan Harimau Malaysia, Datuk Rajagopal terhadap sokongan rakyat Malaysia kepada pasukan kebangsaan perlulah diambil kira.

“Tidak dapat disangkalkan bahawa pasukan-pasukan favourite seperti Manchester United, Liverpool, Arsenal, Chelsea, Real Madrid dan banyak lagi kelab antarabangsa mempunyai peminat tegarnya tersendiri di Malaysia,” katanya kepada Harakahdaily.

Namun, katanya DPPM berharap para penyokong kelab-kelab antarabangsa itu tidak mengabaikan juga sokongan kepada pasukan kebangsaan yang akan beraksi hari ini dan akan datang.

Tambahnya, DPPM kesal apabila media elektronik dan cetak negara memberikan publisiti yang sangat melampau terhadap pasukan-pasukan antarabangsa sedangkan berita dan laporan pasukan kebangsaan dilihat seperti melepaskan batuk di tangga sahaja.

“DPPM berharap dalam sukan bolasepak ini, rakyat Malaysia janganlah sehingga lupa akan jati diri mereka sebagai rakyat Malaysia dalam memberikan sokongan kepada kelab bola sepak antarabangsa kesukaan mereka,” ujarnya.

Bagaimanapun, tambahnya, tidak dapat dinafikan kehebatan aksi dan permainan pemain-pemain antarabangsa itu sangat mengangumkan.

Justeru, kata beliau DPPM berharap agar kehadiran mereka di tanah air kita dijadikan motivasi dan visi baru rakyat Malaysia dalam menanamkan semangat kesukanan dan harapan kepada pasukan bola sepak negara.

Tambahnya, DPPM juga berharap dengan aksi-aksi pasukan kebangsaan bersama pasukan kelab antarabangsa, mutu sukan dan pengurusanya akan dapat dipertingkat dan diperbaiki dari masa ke semasa.

Rakyat juga, ujarnya kena terus memberikan sokongan kepada industri bola sepak negara yang dilihat sedang berkembang meningkat sejak akhir-akhir ini.

“Ayuh kita kuningkan Stadium Bukit Jalil petang ini, kuningkan padang Stadium Bukit Jalil dengan jersi Kuning Harimau Malaya,” ujarnya.

Tiada ulasan: