Khamis, 7 Julai 2011

Hishamuddin berani jadi penderhaka kerana UMNO

PASPB



KUALA LUMPUR : Keenganan Putrajaya mengiktiraf perhimpunan Bersih 2.0 pada Sabtu ini, jelas menggambarkan bahawa kerajaan Umno-Barisan Nasional (BN) tidak mempedulikan titah Yang Di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin meskipun ia mendapat perkenan Seri Paduka.

Walhal kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak itu secara konsisten menasihati rakyat agar mentaati Rukun Negara yang menyebut "Kesetiaan Kepada Raja dan Negara".

Kata Najib, anak-anak lincah juga tidak diajar menderhaka kepada Yang di-Pertuan Agong, negara dan kerajaan, sebaliknya, mereka dididik dengan nilai kerohanian yang tinggi untuk membentuk keperibadian mulia.

Justeru Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali menyifatkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein sebagai seorang rakyat yang derhaka.

"Berdasarkan kenyataannya terbaru Hishammuddin hari ini (semalam), ia jelas menunjukkan bahawa beliau telah menderhaka kepada Tuanku memandangkan semangat yang ditunjukkan dan dipimpin berdasarkan sistem raja berpelembagaan dalam negara kita seharusnya disambut semua pihak," katanya.

Menurut Azmin tindakan Seri Paduka melaksanakan pertemuan dengan penganjur Bersih merupakan inisiatif yang julung kali dilakukan di negara ini.

Katanya lagi, Seri Paduka bukan sekadar memperkenan pertemuan bersama gabungan itu malah mengambil berat terhadap lapan tuntutan Bersih selain bersetuju supaya kerajaan berlaku adil terhadap suara rakyat jelata.

Malah katanya, tiada sebarang alasan bagi Hishammuddin berdegil untuk mengiktiraf program tersebut memandangkan Tuanku Mizan telah menyarankan agar ianya diadakan di stadium bagi menjaga keharmonian negara.

"Persoalannya mengapa pihak polis dan Hishammuddin masih berkeras. Ini menunjukkan bahawa mereka langsung tidak menyambut titah Tuanku dan menderhaka terhadap saranan yang dibuat oleh Tuanku," ujar beliau lagi.

Pengerusi Bersih 2.0, Datuk S. Ambiga dalam kenyataan media lewat malam semalam berpendirian untuk tetap menjadikan Stadium Merdeka sebagai lokasi berkumpul pada 9 Julai nanti walaupun tidak mendapat kebenaran.

Perdana Menteri Najib dalam masa yang sama dilihat tidak konsisten apabila menyatakan pertubuhan Bersih 2.0 harus berdaftar sebelum dibenarkan berhimpun di stadium walhal cadangan itu datang dari beliau sendiri.

Lebih buruk lagi, Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Tan Sri Syed Hamid Albar turut membekukan kesemua permit sementara bas ekspres untuk masuk ke ibu negara bermula hari ini.

Azmin yang ditemui selepas menghadiri mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat semalam berharap rakyat seluruh negara untuk turut memberi sokongan kepada program Bersih 2.0 yang akan berlangsung dua hari lagi.

"Saya tidak nampak kenapa rakyat perlu takut untuk bangun menuntut suatu perkara yang penting bagi menjamin demokrasi yang lebih subur dalam negara," katanya.

Tiada ulasan: