Sabtu, 2 Julai 2011

Bangunan loji Lynas cacat teruk

Pendedahan The New York Times ini amat membimbangkan dan maklumat ini boleh dipercayai kerana ia datangnya daripada para jurutera dan kontraktor loji.



PETALING JAYA: Akhbar The New York Times baru-baru ini mendedahkan bahawa loji radioaktif Lynas yang kini mencapai tahap separuh siap pembinaannya di Gebeng, dekat Kuantan mengalami masalah kecacatan rekabentuk dan pembinaan yang serius kerana tidak mengikut spesifikasi.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam satu kenyataan media hari ini berkata, pendedahan ini amat membimbangkan dan maklumat ini boleh dipercayai kerana ia datangnya daripada para jurutera dan kontraktor loji.

“Kerajaan Malaysia dan Lynas yang mempromosi projek ini mesti mendedahkan perkara sebenar kerana loji ini dijangka membawa kesan buruk radioaktif kepada alam sekitar dan kesihatan penduduk yang tinggal di kawasan sekitar,” desak beliau.

Ahli Parlimen Permatang Pauh itu berkata, sejak dari mula lagi, Ahli Parlimen Kuantan Fuziah Salleh telah menimbulkan rasa prihatin beliau terhadap projek ini.

“Fuziah bersama rakyat Kuantan dan aktivis-aktivis dari sebuah badan bukan kerajaan (NGO) ‘Save Malaysia’ telah sekian lama berjuang dalam isu ini.

“Nampaknya perjuangan mereka selama ini membuahkan hasil walaupun mereka diugut dan diberi gambaran salah oleh ahli-ahli politik yang berkepentingan bahawa loji itu selamat digunakan,” jelasnya.

Menurut Anwar, sudah acap kali kerajaan Malaysia cuba memihak kepada syarikat baru dari Australia itu, yang menerima insentif 12 tahun bebas cukai, apabila berdepan rakyat yang menyuarakan kebimbangan mereka.

Ujar beliau, “melindungi kesan buruk radioaktif tidak seharusnya dilayan sebagai ‘bola politik’ dan sepatutnya isu ini disifatkan sebagai berkecuali (tidak dipengaruhi oleh kepentingan politik).

“Dengan pendedahan laporan The New York Times itu, saya mengambil kesempatan ini untuk merakamkan penghargaan dan tahniah kepada mereka yang tidak kenal penat lelah dalam memperjuangkan hak mereka,” katanya.

Sementara itu, ‘Save Malaysia’ yang menentang pembinaan loji Lynas mendakwa laporan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) tidak lengkap dan menyeluruh kerana ia mereka tidak mengkaji cici-ciri alam sekitar di tapak loji.

Ketua ‘Save Malaysia’ Tan Bun Teet berkata, laporan yang disediakan oleh sembilan ahli IAEA itu tidak mengambilkira kedudukan semula jadi tapak berkenaan.

“Kaji selidik oleh kilang-kilang lain yang menduduki kawasan itu mendapati paras air tidak sampai satu meter dari permukaannya,” katanya.

Tiada ulasan: