Selasa, 5 Julai 2011

Akta Kg Baru: Bacaan kali kedua Oktober, ditangguh kerana masalah ‘aturan’


KUALA LUMPUR— Putrajaya akan meneruskan hasrat mewujudkan perbadanan bagi memantau pembangunan Kampung Baru menerusi Rang Undang-undang Perbadanan Kampong Baru 2010 yang hanya akan dibawa ke Parlimen sesi Oktober ini.

Menurut Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Senator Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin, bacaan kali kedua tidak dapat diteruskan pada sesi Dewan Rakyat berakhir minggu lalu kerana aturan yang ditetapkan.

“Bacaan kali kedua tidak sempat dibuat pada sesi Dewan Rakyat kali ini kerana susunan giliran Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar adalah mengikut kementerian-kementerian dan keutamaan semua rang undang-undang yang didaftarkan di Parlimen belum sampai kepada giliran kami.

“Sehubungan itu, pihak kementerian akan membuat bacaan tersebut pada sesi ketiga mesyuarat Dewan Rakyat yang telah dijadualkan pada Oktober 2011,” katanya dalam satu kenyataan kepada The Malaysian Insider.

Justeru kata Raja Nong Chik, beliau berharap melalui bacaan kali kedua nanti akan dapat membantu Putrajaya membangunkan tanah eksekutif orang Melayu itu.

“Kami yakin hasrat murni kerajaan untuk membantu membangunkan Kampung Baru dengan sokongan daripada pemilik dan pewaris tanah di Kampung Baru dapat dilaksanakan,” katanya.

Sementara itu Setiausaha Kehormat Lembaga Pentadbir Penempatan Pertanian Melayu (MAS) Shamsuri Suradi berkata penangguhan itu akan memudahkan urusan mendapatkan respons daripada pemilik tanah melalui referendum yang dihantar.

“Bila sudah tangguh ini akan mudahkan urusan kita untuk mendapatkan respons daripada pemilik dan pewaris tanah sebab referendum yang dihantar juga masih banyak yang belum kita terima.

“Kita tunggu sahaja nanti, sebab kita tidak tahu apa keputusan pemilik dan pewaris tanah... saya juga tidak boleh nak kata bila akan dapat keseluruhan referendum ini,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar dengan kerjasama MAS menggunakan referendum bagi menentukan sama ada rang undang-undang itu akan diteruskan atau tidak.

Namun sehingga kini The Malaysian Insider difahamkan jawapan yang diterima tidak memberangsangkan.

Sebelum ini Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar telah mengadakan sesi penerangan berhubung rang undang-undang itu yang dipinda ekoran protes pemilik dan pewaris tanah.

Dalam kesemua sesi penerangan itu, pemilik dan pewaris tanah dari tujuh kampung diberi borang Referendum Pembangunan Kampung Baru untuk tujuan penilaian Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar sebelum rang undang-undang itu dibentangkan di Parlimen.

Borang itu menyenaraikan tiga soalan iaitu sama ada pemilik tanah bersetuju dengan cadangan kerajaan mahu membangunkan semula Kampung Baru, syor diadakan sebuah perbadanan pembangunan yang akan bertindak sebagai penyelaras utama dan agar pembangunan di kawasan itu dilaksanakan oleh syarikat berkaitan dengan kerajaan.

Hasil sesi penerangan itu kementerian tersebut berkata status rang undang-undang itu akan diserahkan kepada Kabinet jika referendum menunjukkan usaha kerajaan tidak mendapat sokongan majoriti.

Selain itu, Ahli Parlimen Titiwangsa Dr Lo’ Lo’ Ghazali mahu Putrajaya menarik balik rang undang-undang itu daripada terus dibawa ke Parlimen.

Beliau berkata Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar perlu kembali mengadakan perbincangan dan dialog dengan para pemilik tanah Kampung Baru dalam setiap usaha kerajaan membangunkan kawasan itu.

Tiada ulasan: