Rabu, 18 Mei 2011

Zaid: Segerakan siasatan DVD seks

Juga dedahkan hasil siasatan agar integriti negara dan polis terpelihara, ujar pemimpin parti Kita.


PETALING JAYA: Presiden parti Kesejahteraan Insan Tanah Air, Datuk Zaid Ibrahim hari ini menggesa agar kes siasatan ke atas DVD seks ‘Anwar’ disiasat dengan kadar segera.

“Tanpa penyelesaian yang pasti, spekulasi, was-was dan persoalan yang tidak terjawab akan berterusan.

“Mengapa pihak polis keberatan untuk mengumumkan hasil penyiasatan dan pandangan pakar terhadap dua persoalan utama. Apakah kesahihan rakaman video tersebut? Adakah individu tersebut (ketua pembangkang) Anwar Ibrahim?” soal beliau dalam satu kenyataan media.

DVD seks yang dikatakan membabitkan Anwar didedahkan oleh kumpulan trio Datuk T iaitu mantan ketua menteri Melaka, Tan Sri Rahim Thamby Chik, ahli perniagaan Shazryl Eskay Abdullah dan bekas bendahari Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia Datuk Shuib Lazim dalam bulan Mac.

Rentetan itu, Shazryl turut membuat sumpah laknat bahawa lelaki di dalam video tersebut adalah Anwar. Anwar bagaimanapun menafikan tuduhan tersebut.

Zaid turut menasihatkan pihak polis agar bersikap profesional dan menumpukan fokus terhadap penyiasatan kes.

“Polis tidak menimbangkan implikasi politik dari pendedahan maklumat ini. Mereka tidak perlu memutuskan siapa akan menerima kesan baik atau buruk kerana itu akan ditentukan oleh ahli politik dan para pengundi.”

Zaid menambah bahawa keengganan pihak polis mendedahkan hasil siasatan akan meyakinkan rakyat bahawa polis bermain sandiwara politik.

“Rakyat akan bertanggapan bahawa isu ini adalah hasil fabrikasi dan penipuan oleh pihak polis dan diusahakan oleh pihak yang mahu memerangkap Anwar,” kata Zaid.

Beliau menambah bahawa kes ini bukan hanya menjurus kepada Anwar dan wanita Cina.

“Ia melibatkan integriti dan kredibiliti kerajaan, sistem politik negara dan pasukan politik.

“Justeru, hanya kebenaran sahaja yang boleh mengembalikan ketulusan sistem negara ini.”

Tiada ulasan: