Sabtu, 14 Mei 2011

Tindakan kepada Utusan 'double standard'

Nazri Abdullah


KUALA LUMPUR: PAS menyifatkan tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang hanya memberi surat teguran kepada akhbar Umno, Utusan Malaysia ekoran laporan provokasi 'Kristian Agama Rasmi', sebagai 'double standard' dan 'tidak padan'.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub (gambar kanan) berkata Utusan Malaysia sepatutnya diberi tindakan lebih tegas kerana laporan tersebut sesuatu yang serius dan boleh mencetuskan ketegangan kaum.

"Tidak padan sekadar amaran, perlu kepada satu tindakan lebih tegas kerana ianya boleh mengancam keselamatan negara dan mencetuskan suasana tidak harmoni.

"Inilah sikap double standard Umno BN, pendakwaan terpilih. Kita menolak ISA, namun sepatutnya tindakan kepada Utusan ini harus lebih tegas dan sama seperti tindakan yang dikenakan kepada pembangkang jika perkara sama dilakukan sebelum ini," katanya kepada Harakahdaily.

Pada 7 Mei lalu, Utusan Malaysia pada muka hadapannya melaporkan dengan tajuk 'Kristian agama rasmi?' yang boleh mengancam keselamatan negara.

Akhbar itu memetik laporan dua laman blog sebagai mendakwa satu majlis pertemuan paderi dari seluruh negara di Pulau Pinang yang didakwa turut membincangkan agenda menjadikan Kristian sebagai agama rasmi Persekutuan.

Ianya diambil dari entri blog Bigdog bertajuk 'Making Christianity the official religion? dan blog Marahku juga melaporkan paderi-paderi Kristian mahu perdana menteri dilantik dari kalangan penganut agama itu.

Laporan itu bagaimanapun didakwa tidak bertanggungjawab dan melanggar prinsip-prinsip asas kewartawanan kerana Utusan menyiarkannya tanpa melakukan siasatan berhubung kesahihan maklumat tersebut.

Meskipun dikecam hebat, KDN semalam hanya mengenakan amaran dengan menghantar surat teguran kepada akhbar tersebut.

Surat teguran berkenaan diserahkan kepada ketua pengarang kumpulan Utusan Malaysia, Datuk Aziz Ishak.

Surat teguran KDN lazimnya bermakna tidak ada sebarang tindakan lain akan diambil terhadap Utusan meskipun laporan itu disifatkan sebagai fitnah yang boleh menggugat perpaduan kaum, agama dan keselamatan negara.

Tiada ulasan: