Ahad, 22 Mei 2011

Tanah runtuh: Kerajaan akan bina semula rumah anak yatim, kata Najib

THE MALAYSIAN INSIDER


Orang ramai berkerumun di luar rumah anak yatim Al-Taqwa petang semalam. — Gambar oleh Jack Ooi


WASHINGTON— Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor sedih dengan kejadian tanah runtuh Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa Hulu Langat semalam dan mengucapkan rasa simpati kepada keluarga mangsa.

Dalam kejadian kira-kira 2.30 petang itu, 16 kanak-kanak terkorban dan sembilan yang lain cedera.

“Saya amat sedih atas malapetaka yang berlaku.

“Tragedi itu menyayat hati dan saya, isteri dan keluarga turut merasa sedih atas apa yang berlaku,” kata beliau dipetik media hari ini.

Sambil mengucapkan rasa simpati beliau dan keluarga kepada keluarga mangsa yang terkorban dalam kejadian itu, Najib yang dipetik Bernama berkata beliau sudah meminta pihak yang berkenaan menyiasat punca kejadian itu.

Najib yang berada di sini untuk lawatan kerja ke Amerika Syarikat sejak 17 Mei lalu berkata, kerajaan akan membina semula rumah anak-anak yatim itu dan membina semula kehidupan mereka yang terselamat.

Katanya, kerajaan juga akan memberi sumbangan kepada mangsa kejadian itu.

“Mudah-mudahan sumbangan daripada kerajaan ini akan dapat membantu meringankan beban dan rasa pilu mereka.

“Saya percaya isteri saya melalui Bakti dan Kasih akan memberi sumbangan kepada mereka yang mengalami kehilangan nyawa dan cedera,” katanya.

Najib berkata, beliau dan Rosmah akan melawat tempat kejadian sebaik tiba di tanah air Selasa ini untuk bertemu mangsa dan keluarga mereka serta pihak pengurusan rumah dan sudah meminta pegawainya menjadualkan semula tugas harian beliau pada hari itu.

Katanya, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah melawat tempat kejadian semalam.

Rosmah berkata, beliau sudah menghubungi pihak Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri Menteri dan Timbalan Menteri dan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar, supaya memaklumkan kepada Badan Amal dan Kasih Negeri Selangor untuk pergi melihat keluarga mangsa kejadian itu.

“Saya juga sudah mengarahkan Bendahari Bakti, Datuk Lee Sun Loo, menyediakan sumbangan kepada keluarga mereka yang terkorban dan cedera,” katanya yang menyampaikan takziah kepada keluarga mangsa melalui satu temu bual secara langsung dengan Radio24 malam tadi sebaik sahaja membaca berita kejadian tersebut melalui khidmat pesanan ringkas (SMS).

Rosmah berkata, sebagai seorang ibu, beliau merasa amat pilu dengan kejadian itu.

“Saya juga dimaklumkan ada 70 kanak-kanak yang dihantar ke sana untuk menjalani program Teaching in English dan ada di antara mereka yang terbabit dengan kejadian itu,” katanya.

Tiada ulasan: