Khamis, 5 Mei 2011

Tanah mendap tidak perlu dipolitik

Harakahdaily


KUALA LUMPUR- Tanah mendap yang berlaku berdekatan Kampung Baru, di sini tidak perlu dipolitikkan kerana Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) membuat kajian lanjut mengenainya.

Selepas kejadian, ahli Parlimen Titiwangsa, Dr Lo’ Lo’ Mohd Ghazali ditohmah kerana dikatakan tidak berbuat apa-apa mengenai masalah tanah mendap.

(Gambar: Dr Lo' Lo' meninjau kerja-kerja menimbus kawasan tanah mendap sebelum ini.)

“Perkara yang patut kita semua tahu bahawa tanah mendap hendaklah diperbaiki dan bukannya boleh dilaungkan dengan kata-kata.

“Saya telah berada di kawasan tanah jerlus sejak hari kedua kejadian,” katanya.

Pada hari pertama semasa banjir, beliau kurang sihat tetapi wakilnya telah sama-sama mengharung air banjir.

Mengenai isu tanah jerlus, katanya JPS sebagai pihak yang bertanggungjawab terhadap aliran air di bawah tanah telah mengambil tindakan yang betul dengan melantik kontraktor di bawah AP 55 (Arahan Perbendaharaan 55) bagi kerja-kerja segera (darurat) untuk memasukkan sand bag atau geo bagi menambak kawasan mendapan bagi mengelakkan ia terus terhakis, mendap dan menjejaskan struktur dan kestabilan bawah tanah.

Beliau mendapati semalam, 4 Mei kawasan terbabit terus mengalami mendapan kerana terdapat pergerakan di bawah tanah walaupun kawasan tersebut telah dipenuhi dengan sand bag yang yang diperkuatkan dengan geogrid oleh kontraktor terbabit.

Menurut sumber JPS yang beliau hubungi, mereka akan memadatkan kawasan tanah jerlus tersebut dengan tambahan sandbag geogrid.

“Pada pandangan awal saya, mendapan terbaru ini perlu dikaji oleh pihak JPS kerana ia dibimbangi akan merebak ke kawasan lain memandangkan faktor cuaca hujan lebat yang kerap sejak akhir-akhir ini,” ujarnya.

Menurutnya, memandangkan sand bag adalah hanya merupakan temporary works sahaja suatu tindakan segera perlu dilakukan oleh pihak JPS bagi menyiasat dengan lebih terperinci.

Dr Lo’ Lo’ juga ingin menarik perhatian pihak JPS bahawa seperti yang pernah beliau sebut sebelum ini agar mengambil tindakan menggantikan brick manhole yang terletak di kawasan mendapan semalam digantikan segera dengan precast manhole bagi mengelakkan ia runtuh akibat mendapan dan lateral force di luar jangkaan.

“Saya berharap semua pihak mengambil perhatian mengenai perkara ini dan bukan hanya mempolitikkan bantuan sumbangan kepada mangsa melalui Yayasan Wilayah Persekutuan tetapi turut dihadiri oleh Ketua Umno Bahagian Titiwangsa,” ujarnya.

Beliau yang juga AJK PAS Pusat berkata, sepatutnya bantuan oleh sebuah yayasan tidak dipolitikan dan mencari merit politik dengan kesusahan yang dihadapai oleh mereka yang terlibat.

Tiada ulasan: