Khamis, 19 Mei 2011

Sumpah laknat kecoh: Jonah pula dipanggil polis

Salhan K Ahmad

Dua orang pemimpin AMK, termasuk timbalan ketuanya Khairul Anuar Ahmad Zainudin disiasat polis hari ini berhubung satu insiden kekecohan yang berlaku di Masjid Amru Al-As akhir bulan lalu.

Timbalan ketua pergerakan pemuda PKR itu dipanggil susulan tindakan sama yang dikenakan ke atas timbalan ketua penerangannya, Rozan Azen Mat Rasip pada 12 Mei lalu.

NONEKhairul Anuar (tengah) yang lebih dikenali dengan nama Jonah, dilihat memasuki balai polis Wangsa Maju pada kira-kira 12.30 tengahari ini bagi siasatan berkenaan.

Beliau ditemani ketua AMK Wilayah Persekutuan, Mohammad Hamdi Mohd Said yang turut disiasat hari ini.

Ketua AMK, Shamsul Iskandar Md Akin pula dijangka disoalsiasat minggu depan berhubung insiden di Bandar Baru Sentul itu.

Insiden kekecohan pada 29 April itu berlaku ketika satu upacara sumpah laknat berlangsung.

Sumpah laknat itu dilakukan oleh Datuk Shazryl Eskay Abdullah – salah seorang daripada trio 'Datuk T' yang bertanggungjawab ke atas penayangan satu video lucah.

Bercakap kepada pemberita selepas kira-kira sejam disiasat, Khairul Anwar berkata polis telah membuka siasatan ke atas kes berkenaan mengikut Seksyen 296 Kanun Keseksaan kerana menggangu upacara keagamaan.

“Apa yang persoalkan, kalau betul siasatan dilakukan bawah Seksyen 296, siapa boleh sahkan upacara sumpah laknat ini satu upacara keagamaan.

“(Angkat sumpah itu) dibuat di masjid, tempat umum yang menjadi tempat sembahyang Jumaat,” katanya lagi.

Katanya lagi, beliau juga diberitahu polis bahawa siasatan berkenaan dijalankan dengan adil dan pasukan itu telah memanggil sehingga 30 orang bagi membantu siasatan berkenaan.

“Polis kata mereka tidak ada agenda tertentu untuk kenakan AMK,” tambahnya.

Tiada ulasan: