Sabtu, 21 Mei 2011

Seniwati Mahyon Ismail Meninggal Dunia

TVS NEWS



PETALING JAYA : Seniwati Mahyon Ismail atau nama sebenarnya Mayayun Binti Ismail telah meninggal dunia pada pukul 12.30 tengah hari tadi di Hospital Ampang Puteri, Kuala Lumpur.

Menurut anak sulungnya, Dilla Hussein, 47, ibunya sudah tiga minggu mengalami demam panas dan batuk namun, tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan kritikal melainkan penyakit diabetisnya sahaja.

"Semalam, arwah mengalami masalah pernafasan dan muntah-muntah. Bila ibu dibawa ke klinik, doktor meminta saya dan adik beradik yang lain menghantarnya ke hospital kerana kandungan gula dalam badannya tinggi.

"Disebabkan masalah itu, jangkitan berlaku di paru-paru pula. Dalam pukul 10 malam tadi, ibu terpaksa dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU)," katanya yang dihubungi mStar Online, di sini, Sabtu.

Tambah Dilla, dia tidak menyangka ibunya pergi terlalu awal kerana pada Khamis lalu, dia bersama Allahyarham telah membeli belah dan meluangkan masa bersama. "Malah beberapa minggu ini terdapat sedikit perubahan tentang ibu yang sungguh berselera dalam bab makan sedangkan dia seorang yang begitu teliti tentang penjagaan pemakanannya.

"Bayangkan, setiap dua jam, dia akan lapar dan mahu makan. Saya masih teringat lagi, dia begitu teringin untuk makan ikan terubuk masin masak cili api dan saya masakkan untuknya," tuturnya.

Selain Dilla, Allahyarham yang merupakan balu pelakon veteran Hussein Abu Hassan, meninggalkan dua orang anaknya iaitu Fairuz, 45 dan Faizal 43.

Allahyarham telah dibawa ke rumah Dilla di 175, Jalan Setia, Gombak Setia, Off Jalan Gombak dan akan disembahyangkan di Masjid As-Syakirin.

Selepas itu, jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Ibu Kota, Setapak, selepas waktu Isyak.-mstar online

Tiada ulasan: