Selasa, 17 Mei 2011

Selangor Eksport Pisang Jana Ekonomi

SELANGOR KINI

SHAH ALAM – Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pemodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan, Dr Yaakob Sapari berkata Selangor merupakan pengeksport utama pisang segar ke beberapa negara iaitu Hong Kong, Korea dan negara Timur Tengah sekali gus meningkatkan ekonomi negeri.

Menurut Dr Yaakob pisang ‘tole’ adalah jenis pisang yang dieksport dan ia kini di tanam di tanah berkeluasan 40 hektar di Hulu Selangor.

Menurutnya, penanaman pisang terbabit dilaksanakan sejak dua tahun lalu dan memberikan pendapatan lumayan kepada pengusaha dan pendapatan negeri ini.

“Kejayaan terbabit memberikan pelbagai manfaat kepada rakyat di negeri ini antaranya permintaan yang tinggi terhadap pisang terbabit dan peluang pekerjaan kepada anak tempatan di Hulu Selangor,” katanya.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai pertanian di negeri ini, Yaakob berkata, beberapa projek besar dilaksanakan dan memberikan hasil yang baik.

“Antara projek besar ialah Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) berjaya membuka lima ladang besar dan meningkatkan hasil pertanian,” katanya.

Beliau berkata, PKPS juga memperkenalkan penternakan ayam moden, lembu tenusu moden serta penanaman lain seperti tembikai yang kini dieksport ke Singapura.

Tiada ulasan: