Sabtu, 14 Mei 2011

Samsul Beri Keterangan Kepada Majlis Peguam

Ditulis oleh Radzi Razak



KUALA LUMPUR : Pejabat Peguam Negara tidak hadir pada prosiding siasatan Majlis Peguam untuk memberi keterangan setelah menuduh Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Shamsul Iskandar Md Akin melanggar etika profesyen itu dan mahu lesen guamannya ditarik balik.

Tribunal Lembaga Tatatertib yang bermesyuarat hari ini hanya mendengar keterangan Samsul dan akan memberikan keputusannya kelak.

"Hari ini kita berhadapan dengan situasi di mana peguam negara telah buat satu aduan dan saya terpaksa jawab dan saya kesal mereka tidak datang. Saya telah sempurnakan tanggungjawab saya dan kita tunggu keputusan Jawatankuasa Tatatertib.

Saya sudah berikan penjelasan dan keterangan, Peguam saya dah buat penggulungan. Dalam hal ini saya lihat dan yakin pihak jawatankuasa tatatertib akan buat penilaian yang objektif dan terbaik," tambah beliau.

Ogos tahu lalu Shamsul diberi surat tunjuk sebab oleh Lembaga Tatatertib Majlis Peguam ekoran aduan Jabatan Peguam Negara kononnya beliau menghina sistem kehakiman ketika berkempen pada pilihan raya kecil DUN Penanti pada Mei 2009

Aduan dibuat oleh Ketua Pendakwaan Mohamed Hanafiah Zakaria di bawah Seksyen 99(a)(2) Akta Profesion Undang-undang 1976.

Tribunal Jawatankuasa Tatatertib yang dipengerusikan oleh Suraj Singh dijangka mengambil dua bulan untuk memberi keputusan.

Shamsul hadir di Pejabat Lembaga Tatatertib Peguam di Jalan Maran Kuala Lumpur pagi ini ditemani dua peguamnya Yusmadi Yusof dan Fahda Nur.

Yusmadi menggesa Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail berlaku adil kepada Samsul dalam membezakan tanggungjawabnya sebagai seorang peguam dan pemimpin politik serta aktivis masyarakat.

Menurut Yusmadi yang juga Ahli Parlimen Balik Pulau, rakan berprofesion peguam yang turut menyertai arena politik tidak perlu gusar atau takut selagi tindakan mereka tidak membelakangkan Perlembagaan Persekutuan.

"Kini tibalah masanya rakan-rakan di arena politik lebih prihatin bahawa semua ucapan kita dirakam. Tapi yakinlah kalau ikut lunas undang-undang ada ruang yang cukup untuk rakyatnya dijaga.

Dalam hal ini saya rasa Peguam Negara bukan sahaja patut menjaga kepentingan tertentu sahaja, mereka juga bertanggungjawab di bawah perlembagaan mereka patut jaga hak-hak asasi rakyat Malaysia," kata beliau.

Tiada ulasan: