Jumaat, 6 Mei 2011

RoS akan jawab status daftar HRP dalam 14 hari

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR — Peguam P. Uthayakumar berjaya dalam percubaan permulaan untuk memaksa Pendaftar Pertubuhan (RoS) dan dua yang lain bagi memberikan keputusan mengenai permohonannya bagi mendaftar Parti Hak Asasi Manusia (HRP) sebagai sebuah parti politik.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Rohana Yusuf hari ini membenarkan permohonan kebenaran Uthayakumar untuk satu semakan kehakiman bagi RoS, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan RoS cawangan Wilayah Persekutuan untuk melulus dan mendaftar HRP sebagai sebuah parti politik.

Laporan Bernama memetik Peguam Kanan Persekutuan Suhaila Haron yang mewakili ketiga-tiga responden sebagai berkata mahkamah telah memberikan 14 hari dari hari ini untuk responden berkenaan menjawab permohonan Uthayakumar bagi mendaftarkan HRP.

Beliau berkata mahkamah telah menetapkan 16 Ogos untuk mendengar merit permohonan semakan kehakiman.

Pada 6 April, Uthayakumar yang mewakili dirinya telah memfailkan permohonan kebenaran untuk satu semakan kehakiman bagi ketiga-tiga responden untuk menjawab permohonannya bagi mendaftarkan HRP.

Dalam permohonan itu, beliau memohon perintah mandamus untuk responden bagi melulus dan mendaftar HRP mengikut peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan dan Akta Pertubuhan 1966.

Uthayakumar menuntut bahawa beliau telah memohon agar parti itu didaftarkan sejak 2000, yang ketika itu ia dikenali sebagai Parti Reformasi Insan Malaysia, tetapi tidak mendapat sebarang jawapan daripadanya.

2 ulasan:

Paquin berkata...

Tak kisah lah bila yang penting semua pihak harus bersedia.

Paquin berkata...

Apapun, kita tunggu dan lihat sajalah nanti.