Selasa, 10 Mei 2011

Rampas Selangor untuk apa?

DETIK DAILY


Desas-desus berhubung tarikh pilihan raya umum kini semakin bertiup kencang. Malah ramai yang mempunyai keyakinan bahawa ia akan berlaku pada tahun ini juga.

Petanda baru tentang tibanya musim pilihan raya umum itu adalah ucapan Perdana Menteri di Shah Alam pada satu majlis anjuran veteran Umno negeri.

Dalam ucapannya, Dato’ Seri Mohd Najib Razak menggesa anggota Umno Selangor supaya bangkit mempastikan BN dapat merampas kembali negeri itu pada pilihan raya umum yang disifatkannya sudah hampir tiba.

Malah beliau mahu warga Umno Selangor menggunakan apa sahaja kaedah untuk menang kerana "segala kekurangan dan kezaliman kerajaan negeri mesti diperbetulkan".

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor itu juga beretorik; "Kalau British kita boleh kalahkan kerana kita berjuang berhabis-habisan, takkanlah Umno Selangor tidak boleh bangkit..."

Mendakwa bahawa Umno berjuang habis-habisan untuk ‘mengalahkan British’ sebenarnya satu penyelewengan sejarah. Tidak ada sebarang rekod menunjukkan bahawa British tunduk kepada Umno mahupun Perikatan lalu memberikan kemerdekaan, kerana sudah menjadi dasar British untuk memberikan kemerdekaan kepada tanah-tanah jajahannya selepas Perang Dunia Kedua.

Juga tidak ada rekod yang membuktikan bahawa ada pemimpin Umno, MCA mahupun MIC yang meringkuk dalam penjara British di Malaya kerana menuntut kemerdekaan. Jadi frasa ‘berjuang berhabis-habisan’ sehingga British dikalahkan itu hanyalah satu dongeng penglipurlara dendangan pemimpin Umno.

Memasang impian untuk menewaskan lawan politik bukanlah sesuatu yang pelik bagi mana-mana parti politik. Tetapi mendakwa bahawa Selangor wajar dirampas kerana ‘kekurangan dan kezaliman’ kerajaan negeri sekarang adalah sesuatu yang aneh.

Sepanjang lebih tiga tahun mentadbir Selangor, Kerajaan Pakatan Rakyat negeri telah melaksanakan pelbagai program untuk kesejahteraan hidup rakyat.

Program Merakyat Ekonomi Selangor (Meps) adalah luahan komitmen kerajaan negeri melaksanakan janji-janji manifestonya. Kerajaan negeri sebagai contoh telah menaikkan elaun guru KAFA kepada RM1,000 sebulan dalam tempoh setahun mentadbir Selangor. Kakitangan kerajaan pula diberikan sumbangan musim perayaan sebanyak RM500 dan RM500 lagi untuk bonus hujung tahun.

Selangor juga telah menubuhkan Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (SELCAT) yang telah mengadakan pendengaran awam berhubung dakwaan penyelewengan dana awam dan salah urus tadbir membabitkan kerajaan BN negeri terdahulu.

Melalui Pelan Tiga Tahun Selangor, seluruh rakyat berpeluang berbincang bersama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan jabatan kerajaan berkaitan permasalahan rakyat baik dari segi mutu perkhidmatan yang ditawarkan, masalah keselamatan hinggalah masalah domestik.

Bagi melindungi dan menyelamatkan khazanah negeri, kerajaan negeri telah memperkasa Perbadanan Menteri Besar (MBI) yang membolehkannya mengambil alih semua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) supaya pentadbirannya selari dengan matlamat penubuhan dan menyelamatkan aset milik kerajaan dari disalah guna sama ada atas tiket penswastaan mahupun oleh pemimpin dan syarikat kroni.

Dalam tempoh kurang 3 tahun, MBI telah Berjaya mengenal pasti dan mengutip semula hutang lapuk dari syarikat Talam Corporation Berhad (Talam) berjumlah RM392 juta yang ditinggalkan kerajaan BN. Hasilnya, sebanyak RM50 juta dari kutipan hutang ini dikembalikan semula kepada rakyat menerusi Skim Mikro Kredit Selangor (SKIMSEL) untuk membantu golongan miskin luar bandar manakala RM20 juta diperuntukkan untuk membantu rakyat miskin di Bandar menerusi skim yang sama.

Kerajaan negeri juga telah berjaya menyelamatkan ribuan ekar tanah dan menyelesaikan ribuan unit rumah terbengkalai menerusi program pembangunan semula projek terbengkalai antaranya di Bukit Botak, Ukay Perdana dan Alam Perdana.

Penstrukturan semula syarikat GLC juga telah membolehkan Selangor melaksanakan program pemberian air percuma sejak Jun 2008.

Bagi mempastikan unsur ketelusan, akauntabiliti dan integriti pentadbiran, Selangor adalah satu-satunya negeri yang menawarkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka pejabat cawangan di Pejabat Menteri Besar dan Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB). Malah SPRM dan KSSB telah menubuhkan jawatankuasa bersama bagi menghalang jenayah rasuah.

Banyak lagi program reformasi yang dilaksanakan kerajaan negeri yang tidak dapat dimuatkan dalam ruangan terbatas ini.

Kesimpulannya, tidak ada sebab kukuh untuk BN kembali berkuasa di Selangor setelah lebih 50 tahun mengkhianati amanah dan harta rakyat.

Tiada ulasan: