Ahad, 1 Mei 2011

PRU-13: Pendirian MCA langkah maruah, kata Perkasa

THE MALAYSIAN INSIDER



GEORGE TOWN — Perkasa menyambut baik pendirian Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek untuk tidak memegang jawatan dalam kerajaan jika parti itu ditolak rakyat pada pilihan raya umum akan datang.

Presidennya Datuk Ibrahim Ali (gambar) berkata, keputusan itu adalah yang terbaik bagi pemimpin parti yang calonnya gagal mendapat sokongan rakyat.

‘Ini merupakan pendirian bermaruah dan tepat dalam politik. Tidak ada sebab untuk berada dalam kerajaan sekiranya tidak mendapat sokongan dalam kerajaan,’ katanya dipetik Bernama Online.

Ahli Parlimen Bebas Pasir Mas iu bercakap kepada pemberita selepas majlis beramah mesra dengan Perkasa Pulau Pinang di sini hari ini.

Kelmarin, MCA komponen kedua terbesar dalam BN, mengumumkan pendirian tidak akan menerima sebarang jawatan peringkat pusat dan negeri jika calonnya gagal mencapai keputusan terbaik pada pilihan raya umum ke-13.

Dr. Chua berkata, penolakan jawatan tersebut turut melibatkan di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) termasuk Ketua Kampung serta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung.

‘‘Keputusan yang diambil hari ini hanyalah (bermakna) kita tidak akan menerima apa-apa jawatan di peringkat Kabinet dan negeri, bagaimanapun MCA masih tetap kekal sebagai parti komponen BN.

‘‘MCA akan terus duduk dan menyokong BN kerana kita masih yakin dengan kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib khususnya dalam program transformasi ekonomi dan negara,’ kata beliau.

Mengulas kenyataan itu semalam, Perdana Menyteri Datuk Seri Najib Razak berkata kaum Cina perlu membuat pilihan sama ada untuk memilih MCA pada pilihan raya umum ke-13 atau kehilangan wakil dalam Kabinet pusat dan negeri.

Sehubungan itu Najib berkata masyarakat Cina telah diberikan mesej yang jelas dalam isu tersebut.

‘Pengundi kaum Cina telah diberi mesej jelas berhubung perkara itu,’ kata beliau.

Najib yang juga Pengerusi BN berkata beliau melihat MCA mahu memberi satu mesej kepada pengundi keturunan Cina bahawa mereka tidak boleh menyokong pembangkang dan dalam masa yang sama mahu penyertaan kuat dalam kerajaan.

Tiada ulasan: