KUALA LUMPUR— Sayap Wanita Perkasa berkata selagi Perlembagaan Persekutuan menjamin kedaulatan Raja-raja Melayu secara automatik perdana menteri mestilah seorang beragama Islam.
Ketua Wiranitanya Zaira Jaafar berkata, walaupun tiada peruntukan yang mengatakan seorang perdana menteri mesti beragama Islam tetapi dalam Perlembagaan Persekutuan jika difahami secara holistik, Raja-raja Melayu beragama Islam, begitu juga perdana menteri.
“Jika kita merujuk kepada Perlembagaan Persekutuan, perdana menteri tidak semestinya beragama Islam tapi peruntukan itu perlu dibaca bersama dan bukan diasingkan kerana kesemua peruntukan itu mempunyai kaitan antara satu sama lain.
“Di bawah Artikel 181 kedaulatan Raja-raja Melayu, kami faham raja mesti Melayu dan beragama Islam,” Zaira (gambar, tengah) kata kepada pemberita selepas membuat aduan polis berhubung laporan Utusan Malaysia yang mengatakan ada cubaan untuk menjadikan Kristian sebagai agama rasmi negara ini.
Utusan Malaysia kelmarin dengan tajuk “Kristian Agama Rasmi?” mendakwa wujudnya perbincangan untuk menjadikan Kristian sebagai agama rasmi negara, sekali gus melantik perdana menteri daripada kalangan penganut itu.
Utusan Malaysia juga mendakwa ada konspirasi mahu menjadikan Kristian sebagai agama rasmi, usaha didakwa disokong oleh pemimpin-pemimpin DAP.
Bagaimanapun pemimpin-pemimpin DAP telah menafikan perkara tersebut sambil mengulangi pendirian mempertahankan Islam sebagai agama rasmi negara ini.
Blog-blog itu menuduh DAP menghasut dengan cuba meminda undang-undang negara untuk menjadikan mereka yang beragama Kristian menjadi perdana menteri, dengan menunjukkan gambar berbintik-bintik yang didakwa mereka sebagai pakatan rahsia antara DAP dan pastor-pastor di sebuah hotel di Pulau Pinang, Rabu lalu.
Pertubuhan National Evangelical Christian Fellowship (NECF) bersama Global Day of Prayer, Marketplace Penang dan Penang Pastors Fellowship menegaskan dakwaan terhadap komuniti adalah pembohongan dan telah pun menafikan dakwaan blogger berkenaan kelmarin.
Berdasarkan pandangan pakar undang-undang Prof Dr Abdul Aziz Bari, Perlembagaan Persekutuan tidak memperuntukkan hanya perdana menteri beragama Islam boleh menerajui kerajaan pusat dan keperluan seperti itu bertentangan dengan undang-undang sedia ada.
Beliau berkata walaupun perdana menteri bukan beragama Islam, namun ia boleh menjamin hak orang Melayu dan agama Islam seperti mana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Zaira menafikan Perkasa mahu membangkitkan terus dakwaan itu, sebaliknya menegaskan hanya mahu mengetahui sekiranya tuduhan itu benar atau tidak.
“Kita telah lihat banyak laporan polis dan kami mengambil sikap yang sama hari ini kerana ia adalah isu besar dan kami tahu ramai yang tidak faham akan perlembagaan. Baca banyak kali tapi tidak faham.
“Kami bukan mahu memperbesarkan isu ini tapi kami mahu polis ambil tindakan. Kami mahu tahu sama ada laporan itu benar atau tidak. Jika ia benar ia akan jadi masalah yang besar,” katanya.
Zaira juga mengaku bahawa Islam bukan agama rasmi tapi sejak ia menjadi agama dalam Perlembagaan Persekutuan, ia harus diterima semua pihak.
“Mereka perlu faham dan terima Islam bukan agama rasmi tapi Islam adalah agama dalam Perlembagaan dan mustahil untuk memindanya. Islam diletakkan dalam kedudukan yang istimewa, paling tinggi dan ia dilindungi Perlembagaan, juga melalui undang-undang dan Raja-raja Melayu.
“Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang tertinggi di Malaysia dan Islam adalah agama rasmi perlembagaan, jadi ia membuatkan Islam lebih tinggi dari agama-agama lain tapi penganut agama lain bebas untuk mengamalkan agama masing-masing,” katanya.
Artikel 3(1) Perlembagaan Persekutuan tidak meletakkan Islam sebagai agama “rasmi” negara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan