Selasa, 10 Mei 2011

Perkasa buat laporan polis terhadap The Sun, Malaysian Insider

Laporan terhadap The Sun mengenai hak kerakyatan Lim Lian Geok dan Malaysian Insider yang mempersoal Islam sebagai agama rasmi.



KUALA LUMPUR: Wirawanita Pertubuhan Peribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) hari ini membuat laporan polis berhubung artikel yang disiarkan dalam akhbar harian ‘The Sun’ mengenai cubaan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) yang mahu menuntut agar hak kerakyatan tokoh pendidikan sekitar tahun 1950-an Lim Lian Geok dikembalikan semula.

Dalam laporan akhbar The Sun bertarikh 10 Mei itu berkata, 13 NGO termasuk Jiao Zong bercadang untuk memungut tandatangan sebanyak 100,000 bagi tujuan kempen mengembalikan hak kerakyatan Lim sekaligus menyambung usaha Lim untuk mencapai matlamat supaya sekolah vernakular (satu aliran) setaraf dan mendapat peruntukan yang sama dengan sekolah kebangsaan.

Dikenali sebagai Zu Hun (Roh Bangsa), Lim merupakan tokoh pendidikan seangkatan dengan ‘Bapa Pendidikan Malaysia’ Aminudin Baki yang berjuang mempertahankan kepentingan pendidikan Cina semasa awal zaman kemerdekaan.

Semasa menjadi Pengerusi Gabungan Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina (GPGSC) Lim melancarkan kempen untuk menjadikan bahasa Cina sebagai salah satu bahasa rasmi Persekutuan.

Beliau percaya satu-satunya cara untuk mempertahankan status pendidikan Cina adalah dengan menuntut kedudukan yang sah bagi status bahasa Cina kerana baginya tanpa kedudukan itu, status pendidikan Cina tidak akan terjamin.

Akan tetapi, pendiriannya itu tidak diterima baik oleh British dan golongan elit politik Perikatan yang cuba mengadakan satu sistem pendidikan unitari berdasarkan penggunaan satu bahasa yang sama sebagai teras pembinaan negara bangsa.

Beliau akhirnya dianggap kerajaan Perikatan sebagai penghalang kepada usaha untuk menyusun semula sistem pendidikan pada ketika itu dan kemudian permit perguruannya serta status kerakyatannya ditarik balik pihak berkuasa pada tahun 1961.

Sehubungan itu, Ketua Wirawanita Perkasa Datin Paduka Norkhaila Jamaludin membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini kerana bimbang dengan tuntutan tersebut yang dakwanya bertentangan dengan perlembagaan artikel 152(2) yang memperuntukkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

“Mendiang Lim telah dilucut kerakyatan kerana menderhaka kepada negara dan tuntutan ketika perhimpunan turut mengancam keselamatan negara dan bertentangan dengan undang-undang,” kata Norkahila dalam laporan polisnya.

Malaysian Insider persoal Islam agama rasmi?

Selain itu, laporan turut dibuat terhadap laman portal The Malaysian Insider hari ini yang menyiarkan laporan bahawa Perlembagaan Persekutuan tidak pernah menggariskan Islam sebagai agama rasmi.

Dalam laporan tersebut, Ketua Jawatankuasa Perlembagaan Majlis Peguam Syahredzan Johan mendakwa dari segi Perlembagaan Persekutuan hanya ada satu agama bagi Persekutuan iaitu Islam, tetapi tidak menyentuh sama ada ianya rasmi atau bukan.

Syahredzan dipetik The Malaysian Insider merujuk kepada Artikel 3 yang menyebut bahawa “agama Islam ialah agama bagi Persekutuan tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai Persekutuan di mana-mana bahagian Persekutuan” dan menekankan bahawa perkataan “rasmi” tidak pernah disebutkan di mana-mana bahagian.

Namun Norkhaila sebaliknya berkata, kenyataan yang disiarkan itu amat berbahaya dan menyalahi undang-undang yang boleh mengancam negara kerana ianya merupakan isu agama yang amat sensitf.

“Perkara 3 jelas mengatakan agama Islam ialah agama rasmi tetapi agama lain boleh diamalkan dengan bebas (Perkara 11)…bagaimana dia (Syahredzan) sebagai pengamal undang-undang boleh silap mentafsirkan Perlembagaan,” soalnya.

Beliau berkata, memandangkan ada pihak tertentu yang tidak henti-henti membuat tuntutan dan kenyataan yang bertentangan dengan perjanjian kontrak sosial yang menjadi asas Perlembagaan, pihaknya menggesa agar kerajaan melalui Parlimen meminda undang-undang.

Katanya, pindaan itu bagi langkah tegas agar mana-mana pihak yang membuat tuntutan sedemikian dikenakan hukuman mandatori seperti hilang hak kerakyatan atau dipenjara seumur hidup.

“Ini bagi menentukan supaya perkara ini tidak lagi dipermainkan dan dipersendakan sehingga boleh menimbulkan huru-hara antara kaum,” katanya.

Tiada ulasan: