Harakahdaily |
KUALA LUMPUR: Kerajaan turut digesa memansuhkan pengisytiharan darurat yang sudah lebih 40 tahun digunakan di negara ini selain memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar berkata, Malaysia seharusnya mencontohi negara lain seperti Mesir yang telah memansuhkan pengisytiharan darurat. "Kita berada dalam kerangka undang-undang yang tempang. Memang ISA itu zalim, itu memang jelas tapi isu yang lebih utama ialah mengenai deklarasi darurat yang masih digunakan di Malaysia sedangkan negara lain seperti Mesir ianya sudah dimansuhkan," kata beliau dalam satu diskusi bertajuk 'Siapa di belakang ISA' di KL & Selangor Chinese Assembly Hall (KLCAH), kelmarin. Terdahulu, Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) dan Civil Rights Committee, KL & Selangor Chinese Assembly Hall (CRC) dan Strategic Information and Research Development Centre (SIRD) melancarkan buku yang ditulis Adun Hulu Kelang dari PAS, Saari Sungib, bertajuk Sengsara Kem Kamunting: Kisah Hidup dalam Penjara ISA. Menurut Nurul yang juga Naib Presiden PKR, ahli Parlimen Pakatan Rakyat telah menyediakan usul mengenai perkara tersebut namun ditolak Speaker Dewan Rakyat atas alasan ianya hanya boleh dibawa oleh Menteri. "Keputusan yang kita (Pakatan Rakyat) ambil dalam sesi lepas adalah untuk memperkenalkan dan membahaskan akta pemansuhan darurat supaya semuanya ditarik balik di Parlimen dan pada masa yang sama kita kena menyediakan langkah-langkah susulan kerana apabila ditarik pengisytiharan darurat unang-undang yang diwujudkan semasa darurat berkuat kuasa akan menerima akibatnya. "Usul (untuk memansuhkan pengisytiharan darurat) telah disiapkan dan diserahkan kepada Speaker malangnya atas kuasa Speaker ianya ditolak kerana dikatakan mana-mana ahli Parlimen atau undang-undang persendirian tidak akan dilayan kecuali usul memansuhkan pengisytiharan darurat itu dibawa oleh menteri," katanya. Beliau juga berkata, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz telah mungkir janji apabila berkata bersedia menarik balik pengisytiharan di Sarawak dan Kelantan namun tidak melaksanakannya sehingga sekarang. "Nazri Aziz dalam jawapannya kepada saya dan Ipoh Timur di Parlimen menyatakan kerajaan bersedia menarik balik pengisytiharan darurat Sarawak dan Kelantan tapi tidak dibuat sampai hari ini," katanya. Sebelum ini, seorang pakar perlembagaan, Shad Saleem Faruqi berkata, banyak faktor yang mungkin menyebabkan kerajaan tidak menamatkan darurat. Pertama, mungkin kerajaan jahil dalam perkara ini dan keduanya, kerajaan mungkin mendapati undang-undang yang digubal ketika darurat memberi "kemudahan" ketika digunakan. Menurut artikel 150 (7) dalam Perlembagaan Persekutuan, seandainya darurat ditamatkan, semua akta yang digubal ketika tempoh darurat akan hilang penguatkuasaannya selepas enam bulan. Pada 8 Mac lalu, seorang remaja Muhammad Arif Abud Semah, 19, ditahan di bawah Ordinan Darurat (EO), atas tuduhan mencuri motosikal. Ketika ditahan Arif turut mendakwa dipukul dengan teruk di bahagian kaki dengan kayu panjang dan wajar. Menurut Arif, meskipun beliau merayu dan meminta bantuan perubatan, namun ia tidak diedahkan. Penangkapan Arif di bawah EO dan seksaan fizikal dan mental yang dialaminya dikecam hebat NGO seperti Pertubuhan Lawyer For Liberty (LFL) dan Suara Rakyat Malaysia (Suaram). Ini kerana tangkapan di bawah EO itu membenarkan penahanan tanpa bicara selama 60 hari, yang bertentangan dengan hak asasi manusia untuk mendapatkan pembelaan. |
Jumaat, 6 Mei 2011
Mansuhkan pengisytiharan darurat
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan