Ahad, 22 Mei 2011

Kesemua 16 jenazah tragedi tanah runtuh dibawa keluar HKL

TERKINI


Anggota keluarga mangsa tragedi tanah runtuh cuba menenangkan satu sama lain di masjid Hulu Langat dekat Kuala Lumpur, hari ini. — Foto Reuters


KUALA LUMPUR— Kesemua 16 mangsa yang terbunuh dalam tragedi tanah runtuh di Hulu Langat semalam telah dibawa keluar dari Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas dibedah siasat untuk tujuan pengebumian.

The Malaysian Insider difahamkan seawal pukul 6.30 pagi lagi, keluarga mangsa telah berkumpul di pekarangan Jabatan Forensik HKL.

Setakat pukul 10.40 pagi tadi, tiga jenazah telah dibawa ke kawasan Pantai Dalam di sini manakala lima lagi ke Hulu Langat, masing-masing seorang mangsa ke Kelantan, Ipoh, Temerloh dan Batu Caves.

Dua lagi dibawa ke kawasan Dengkil untuk dikebumikan.

Salah seorang ibu mangsa yang terkorban, Intan Anisah Alang, 40, berkata jenazah anak dan anak saudaranya telah dibawa ke Tanah Perkuburan Jenderam Hilir, Dengkil dekat sini.

Kedua-dua mangsa itu ialah Muhammad Reizman Abdul Latif, 9, dan sepupunya Muhammad Kamarul Amizan Johari atau Boboy, 11.

“Anak saya bersama sepupunya Boboy akan dikebumikan di tanah perkuburan di Masjid Batu 14 bersama lima yang lain,” katanya.

Bagaimanapun beliau enggan mengulas lanjut kerana masih sedih dengan kematian anak dan anak saudaranya.

Sementara itu, setakat pukul 12.05 tengah hari tadi, menurut salah seorang tenaga pengajar madrasah itu, dua lagi mangsa korban, Mohd Dzahier Haziq Mohd Muin dan Mohd Hazim Sapri dibawa ke tanah perkuburan Masjid Batu 14, Hulu Langat untuk dikebumikan bersama lima yang lain.

Dalam pada itu, pengasas madrasah tersebut, Ahmad Latif, 45, berkata, beliau masih sedih dengan kejadian tersebut dan akan memberi kenyataan selepas semua urusan pengebumian selesai.

“Saya sekarang tengah bersedih lagi. Tunggu semua sudah selesai, saya akan bagi kenyataan,” ujarnya.

Sementara itu, ibu mangsa, Zaliah Abdullah, 45, berkata, Haziq merupakan anak sulung daripada empat adik-beradik tidak menunjukkan sebarang tanda sebelum “pergi”.

“Hari terakhir saya berjumpa Haziq hari Jumaat, sehari sebelum kejadian.

“Dia kelihatan seperti biasa dan tidak menunjukkan sebarang perubahan,” kata beliau ketika ditemui The Malaysian Insider di pekarangan HKL.

Zaliah berkata lagi, Haziq memperoleh 5A dalam peperiksaan SPM baru-baru ini.

“Anak saya bercita-cita menjadi seorang doktor. Dia mendapat dua tawaran. Tetapi disebabkan mahu menjadi doktor, dia telah memilih untuk sambung belajar di kolej matrikulasi Perak, Gopeng.

“Namun, cita-citanya tidak kesampaian apabila terlibat dalam kejadian tanah runtuh,” ujarnya.

Zaliah turut berkata, Haziq sering ke Madrasah Al-Taqwa untuk mengaji al-Quran.

Katanya, setiap Sabtu Haziq akan ke madrasah tersebut untuk belajar al-Quran bersama kawan-kawannya.

Dalam pada itu, tujuh daripada 16 mangsa tanah runtuh akan dikebumikan dalam satu liang lahad.

Kesemua jenazah akan disembahyangkan di Masjid Sultan Hishammudin Alam Shah, Batu 14 sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Dusun Nanding, dijangka selepas solat Zohor.

Pekarangan masjid dibanjiri ahli keluarga mangsa, pemimpin dan juga penduduk tempatan.

Mereka yang akan dikebumikan ialah Haziq, Mohd Hazim, Mohd Azrel Azahari, 8; Wan Ahmad Hasril Hazim, 19; Mohd Mustakim Mamat, 12, Mohd Zaim Azahawi, 14, dan Mohd Imal Fahad, 9.

Tiada ulasan: